Oleh: Raja Ahmad Kamil Bin Raja Sulaiman | Mahasiswa tahun 1 UIAM Kuantan
Keputusan rasmi Pilihan Raya Umum Malaysia ke-13 telah pun diketahui awal pagi tadi, sekitar jam 4 pagi. Barisan Nasional mendapat mandat untuk membentuk kerajaan pusat setelah berjaya memenangi 112 kerusi parlimen pada jam 12.50 tengah malam dan keputusan akhir dengan 133 kerusi berbanding Pakatan Rakyat 89.
Menurut SPR, seramai 11,257,147 daripada 13,268,002 pengundi berdaftar keluar mengundi iaitu 84.84%, rekod tertinggi dalam sejarah.
Dalam PRU12 pada 2008, BN berjaya memenangi 140 kerusi parlimen manakala PR 82. Ini bermakna, BN kehilangan 7 kerusi dalam PRU kali ini. Bagi kerusi dewan undangan negeri pula, BN berjaya memenangi 275 kerusi daripada 505 kerusi pada PRU kali ini berbanding 344 pada PRU12. Mereka kehilangan 69 kerusi. PR pula raih 230 berbanding 161 pada PRU12.
Manakala dari segi undi popular pula, BN peroleh 5,302,039 undi manakala PR 5,591,588 undi. Ini menunjukkan PR peroleh undi majoriti Rakyat Malaysia walaupun mereka kalah dari sudut bilangan kerusi parlimen. Secara tidak langsung, kita boleh mengatakan PR kalah dengan bermaruah.
Melihat situasi ini, pada pendapat peribadi, “representative system” mungkin lebih ‘adil jikalau menggunakan undi popular rakyat.Disebabkan kaedah PRU kita adalah kaedah yang paling lama FPTP (First Past the Post) dan disebabkan oleh gerrymandering - persempadanan semula (yang dilakukan oleh BN apabila mereka menang 2/3 majoriti kerusi parlimen sebelum 2008) maka jumlah pemilih di kawasan-kawasan parlimen dan DUN sangat tidak seimbang.
Oleh sebab BN gagal menguasai 2/3 majoriti kerusi parlimen pada PRU12, ia menyaksikan tiada persempadanan semula dan pertambahan kerusi parlimen pada PRU13 yang tidak menguntungkan mereka. Persoalan mungkin timbul: Relevankah “representative system” ini? Dek diriku yang masih kurang ilmu dalam bidang sains politik ini, aku memilih untuk tidak membahaskan panjang perkara ini. Sama-sama kita tambahkan ilmu dan buat kajian terutama bagi negara yang amalkannya seperti UK.
Isu-isu berbangkit
Terdapat beberapa isu berbangkit sepanjang kempen PRU13 termasuk pada hari pengundian semalam.
Pertama, dakwat kekal yang tidak kekal. Tidak dinafikan terdapat beberapa orang yang dakwat di jarinya tidak hilang walau setelah dibasuh. Namun, boleh dikatakan lebih ramai yang mengadu dakwat hilang. Malah, lebih 1000 laporan dibuat atas isu ini.
SPR telah memberikan jawapan yang tidak memuaskan dalam hal ini. Apapun, siasatan menyeluruh mesti dilakukan dan penyelewengan yang berlaku mesti didakwa dan dibicarakan di mahkamah sekiranya SPR dan badan kehakiman benar-benar telus.
Kedua, pengundi hantu yang tidak diundang. Banyak kes yang timbul semalam di mana para aktivitis politik terutama daripada Pakatan Rakyat yang mendapati dan menahan orang-orang yang mencurigakan di kawasan pengundian terutama yang kelihatan seperti warga asing.
Hal ini pun sama. Siasatan lengkap mesti dilakukan dengan penuh ketelusan. Sekadar penafian adalah tak cukup. Pada pendapat peribadi, saf kepimpinan SPR mesti dirombak dan reformasi dalam pentadbiran & pengurusan SPR mesti dibuat bagi mengembalikan integriti dan ketelusan yang diragui sebahagian rakyat.
Jika perlu, kedua-dua pihak dari pihak kerajaan dan pembangkang menganggotai SPR.
Ketiga, isu pengundi Cina yang mendominasi dalam ‘tsunami politik’ negara. Pada pandangan peribadi, ia bukanlah ‘Chinese tsunami’ tetapi ‘urban tsunami’ atau lebih tepat ‘Malaysians tsunami’ kerana meliputi rakyat Malaysia di kawasan semi bandar, golongan muda, dan pastinya kawasan bandar.
Pakatan Rakyat berjaya memenangi kerusi Parlimen di semua ibu negeri kecuali Kangar(Perlis) dan Johor Bahru(Johor), selain memenangi 9 daripada 11 kerusi parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Populasi kaum Cina di negara kita adalah sekitar 24%, padahal Pakatan Rakyat peroleh lebih kurang 51% undi. Adalah kurang berasas untuk menimbulkan isu ini.
Dalam proses perubahan ke arah politik baru yang lebih sihat dan matang, isu-isu perkauman sangat tidak wajar untuk dimainkan. Kenyataan beberapa orang pemimpin politik terutama yang kalah menyalahkan kaum Cina sebagai tidak bersyukur dan menghargai jasa BN sangat dikesali.
Kita mesti menghapuskan pemimpin-pemimpin yang masih berminat memainkan sentimen-sentimen perkauman yang membantutkan usaha perubahan. Bukan sahaja isu DAP perkudakan PAS atau UMNO perkudakan MCA dan sebagainya, ia termasuklah isu perpaduan UMNO dan PAS sebagai perpaduan orang Melayu Islam.
Berbeza parti politik, idelogi dan pendirian bukanlah tanda perpecahan, tetapi sikap taksub dan ketidakterbukaan untuk berlapang dada dalam perbezaan yang menyebabkan orang Melayu Islam berpecah. Bukan untuk menyanjung kaum Cina, tetapi mereka menunjukkan contoh yang baik dalam solidariti dan mewujudkan civil society dalam kalangan mereka.
Pendekatan ISMA dalam hal ini tidak wajar dan dikesali. Kita boleh berbeza dalam wadah perjuangan, tetapi untuk membangkitkan isu-isu lapuk dan sentimen yang kurang asas sangatlah tidak perlu. Ia hanya boleh membawa kepada salah faham dan fitnah kepada Islam.
Masa Depan Islam dan Da’wah
Melihat kepada trend dan keputusan PRU13, kita dapati majoriti ahli parlimen adalah orang Melayu Islam. Isu yang dibangkitkan bahawa Islam bakal tergugat adalah langsung tak berasas dan ia hanya andaian kosong.
Apapun, da’wah kepada non-Muslims mestilah dipergiat. Dalam hal inilah umat Islam tanpa mengira bangsa dan ideologi politik mesti bersatu dan berjuang bersama menyampaikan mesej Islam kepada non-Muslims selain memperbetul salah faham yang wujud dalam kalangan non-Muslims terhadap Islam.
Asyik menimbulkan isu dan sentimen yang kurang matang tanpa membuat kerja dari akar umbi, hanyalah membuang masa dan membantutkan proses pencerahan dan perubahan.
Isu sosialis, pluralist, secularist, liberalist , juga negara kristian, agenda yahudi dan sebagainya perlu diberi pencerahan dengan kerangka yang lebih luas, dan bukannya dari sudut pemikiran yang jumud dan sempit. Islam meraikan perkara-perkara yang tidak bercanggah dengan prinsipnya walaupun ia dipelopori oleh non-Muslims.
Dogma yang ditanam oleh sebahagian golongan Islamist yang tidak terbuka kepada umat Islam perlu dihentikan. Pencerahan itu perlu, tetapi bukan untuk mendiamkan dan menghapuskan ideologi yang pada asasnya ada kebaikan walaupun ada ciri-ciri yang masih boleh dibahaskan dengan lebih matang dan ilmiah.
Muhasabah
Perubahan itu bermula dengan diri kita sendiri. Kita merupakan sebahagian dariapda mata rantai dalam perjuangan yang bermula sejak utusnya rasul sehinggalah ke hari kiamat. Membanyakkan bacaan dan ilmu, mengaplikasikan dalam kehidupan dan manfaatkannya untuk perjuangan.
Penyokong Pakatan Rakyat khususnya PAS berdukacita dengan kekalahan dalam PRU kali ini. Duhai tentera Allah, usah berdukacita dan kecewa terlalu lama. Perjuangan kita masih belum selesai. Perjalanan kita masih panjang. Berjiwa besar dan optimis terhadap masa hadapan sangat penting.
Walaupun mungkin benar berlaku penipuan dan ketidakjujuran dalam perjalanan PRU kali ini, kita berusaha sehabis mungkin tegakkannya di muka keadilan agar rakyat keseluruhannya sedar akan hal ini.
Petisyen pilihan raya boleh dibuat di Mahkamah Pilihan Raya dalam masa 21 hari dari tarikh keputusan digazet. Yakinlah jika PR di pihak yang benar, dalam kegelapan itu tetap ada harapan.
Yang paling penting, kita kecewa dan sedih dengan tindakan manusia, bukan dengan takdir Allah!
Firman Allah ‘Azza Wa Jalla:
“Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya pada pagi dan senja hari dengan mengharap keredhaan-Nya; dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan dunia ini; dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melampaui batas” – Surah Al-Kahf, ayat 28
Kita harus memuhasabah diri banyak-banyak atas kesilapan dan kealpaan diri yang pasti ada, daripada meletakkan kegagalan dan kekalahan pada Tuhan. Benar Tuhan jua berkuasa atas segalanya, tapi keburukan tidaklah layak disandarkan kepadaNya.
Semoga Allah ‘Azza Wa Jalla sentiasa redhai dan rahmati usaha kita dalam menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini, serta pastinya mengampuni keterlanjuran kita dalam urusan hidup di dunia yang sementara ini.
Dalam sebuah hadith daripada Huzaifah Ibn Yaman radiallahu ‘anhu:
Manusia bertanya Rasulullah Sollallahu ‘Alahi Wasallam berkenaan kebaikan, aku pula bertanya baginda tentang kejahatan kerana aku bimbang ia menimpa aku.
Maka aku berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami berada di masa jahiliyyah dan keburukan, lalu Allah mendatangkan kebaikan ini kepada kami. Adakah setelah kebaikan ini ada keburukan?” Rasulullah menjawab, “Benar”.
Aku bertanya: “Adakah setelah keburukan ini ada kebaikan?” Rasulullah menjawab, “Benar, akan tetapi terdapat asap (kesamaran, kekalutan, atau kekeruhan) padanya.”
Aku bertanya, “Apakah asap (kesamaran, kekalutan, atau kekeruhan) tersebut?”
Baginda bersabda, “Iaitu orang-orang yang mengambil petunjuk selain daripada petunjukku. Engkau mengenali mereka dan mengingkarinya.”
Aku bertanya, “Adakah setelah kebaikan itu ada lagi keburukan?” Baginda bersabda, “Benar, para penyeru kepada pintu-pintu jahannam. Sesiapa yang menyambut mereka maka mereka akan mencampakkannya ke dalam jahannam (kebinasaan).”
Aku bertanya, “Wahai Rasulullah, sebutkan sifat-sifat mereka kepada kami.” Baginda menjawab, “Mereka berkulit sama seperti kita dan berbicara dengan bahasa kita.”
Aku bertanya, “Apakah yang engkau perintahkan kepadaku sekiranya aku bertemu dengan situasi seperti itu?” Baginda menyatakan, “Hendaklah kamu tetap bersama-sama dengan jama’ah umat Islam dan pemimpin mereka.”
Aku bertanya, “Bagaimana sekiranya tidak ada jama’ah dan tidak pula ada pemimpin bagi umat Islam?” Baginda menjawab, “Jauhilah kelompok-kelompok itu semuanya walaupun engkau tinggal dengan menggigit akar kayu sehingga kematian datang menjemput dalam keadaan engkau seperti itu”. – Hadis Riwayat Imam Bukhari(3606) dan Imam Muslim(1847)
Penutup
Barisan Nasional yang mendapat mandat untuk memerintah negara ini bagi tempoh 5 tahun yang akan datang mestilah menunaikan amanah dan janji dalam manifesto mereka. Begitu juga Pakatan Rakyat yang memerintah 3 buah negeri iatu Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang.
Sekiranya BN di bawah pimpinan DS Najib benar-benar ingin lakukan transformasi, amatlah diharapkan agar media massa negera ini dibebaskan dalam erti kata lain ‘adil dan telus dalam menyampaikan ilmu dan maklumat kepada rakyat dalam mendidik mereka ke arah yang lebih matang dalam menilai sesuatu isu. Semua pihak wajar diberikan peluang untuk mengutarakan idea dan hujah, selain mempertahankan diri sekiranya dilemparkan tuduhan. Ini salah satu syarat dalam menyuburkan semangat demokrasi yang diamalkan di negara ini, selain prinsip keadilan Islam.
Selain itu, PR mesti diberi kebenaran untuk menjadi pertubuhan berdaftar seperti BN oleh RoS bagi membentuk sistem dua parti. Keengganan RoS mengesahkan pendaftaran PR amat mendukacitakan.
Sebagai peringatan kepada semua, dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anh, bahawa Rasulullah Sollallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda:
“Kamu sangat ingin (berusaha) untuk mendapatkan jawatan atau kekuasaan pemerintahan tetapi ingatlah bahawa ianya akan menjadi punca penyesalan di hari kiamat” – Hadis Riwayat Imam Bukhari(7148)
Kita mengharapkan kedua-dua pihak akan menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik, BN menjadi kerajaan yang amanah dan jujur dalam menguruskan harta benda negara dengan ‘adil, manakala PR menjadi pembangkang yang kuat sebagai check & balance.
Kita sebagai rakyat marhaen pula terus menuntu ilmu dan berusaha dalam kerangka perjuangan atas ijtihad politik masing-masing. Semuanya dengan tujuan dan objektif yang sama, iaitu ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara yang makmur dan sejahtera serta ‘adil, dalam keredhaan Allah ‘Azza Wa Jalla.
Sumber : Darlkautsar.net
P.S :
Satu ulasan yang amat bernas oleh seorang anak muda. Syabas pakcik ucapkan untuk Raja Ahmad Kamil.
Pakcik juga ucapkan syabas kepada Pakatan Rakyat kerana berjaya menambah undi popular rakyat. Bak kata orang walaupun kalah tapi kita kalah dengan bergaya. Walaupun sudah terang lagi bersuluh berlaku penipuan dalam PRU 13 ini, kita berharap saluran bantahan hendaklah dibuat melalui saluran yang betul dan mengikut undang-undang. Perjuangan di teruskan, lawan tetap lawan, kita berjuang hingga tertegaknya Islam dimuka bumi Malaysia ini, walau ianya memakan 5 atau 10 atau 50 tahun lagi.
Kepada mereka-mereka yang menipu di dalam PRU 13 ini dan juga kepada mereka2 yang bersubahat, bersekongkol, menyokong dan yang sewaktunya, pakcik menyeru agar mereka2 ini insaf dan bertaubat. Semuga Allah beri petunjuk kepada mereka dan sedarkan akan dosa besar yang ditanggung mereka dan juga saham dosa kemungkaran dan penyelewengan yang BN lakukan selama ini akan ditanggung oleh mereka kerana menyokong penipuan ini. WaAllahua'lam.
No comments:
Post a Comment