Saturday 23 August 2014

Dr Mahathir beri 7 sebab tarik balik sokongan kepada Najib, kata portal



Tun Dr Mahathir Mohamad menggariskan 7 sebab, dari bantuan tunai secara langsung ke perjanjian perdagangan, yang cukup membuatkan beliau kecewa dan menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Portal berita Asia Sentinel hari ini memetik seorang ahli perniagaan yang mempunyai hubungan rapat dengan Umno berkata Dr Mahathir menghantar surat kepada Najib yang dilaporkan mengandungi 7 perkara.
Sebaliknya, Najib menghantar Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk berjumpa Dr Mahathir dan memintanya menarik balik surat itu, tetapi bekas perdana menteri itu enggan.
"Dr Mahathir enggan menarik balik surat itu dan kebuntuan ini mengakibatkan pertentangan antara kedua mereka," kata Asia Sentinel.
Perhimpunan Agung Umno yang dijadualkan berlangsung November ini dipercayai menyebabkan Dr Mahathir makin meningkatkan kempennya terhadap Najib.
Malah, Asia Sentinel berkata kemarahan Dr Mahathir meruap-ruap sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lagi, di mana Barisan Nasional hilang undi popular kepada Pakatan Rakyat untuk kali pertamanya dalam 44 tahun.
Kritikan Dr Mahathir terhadap pentadbiran Najib disebar luas oleh portal berita bebas walaupun media arus perdana di negara ini memilih untuk tidak melaporkannya.
Antara tuntutan dibuat Dr Mahathir termasuk memperbaharui tabung dana 1Malaysia Development Berhad yang menanggung hutang sehingga RM36 bilion.
Dr Mahathir juga tidak berpuas hati dengan syarikat konglomerat minyak dan gas negara Petronas kerana tidak memberi cukup kontrak kepada Bumiputera.
Kata Asia Sentinel, peletakan jawatan Dr Mahathir sebagai penasihat Petronas pada Oktober tahun lepas bukan disebabkan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan, tetapi kerana beliau marahkan Najib.
"Dr Mahathir juga tidak suka Najib terlalu bertolak-ansur dengan Amerika Syarikat disebabkan perundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang sedang berjalan."
Perdana menteri Malaysia yang berkhidmat paling lama iaitu 22 tahun itu dilaporkan terasa hati kerana tidak dijemput menghadiri majlis makan malam bersama presiden Amerika Barack Obama.
"Semasa lawatan Obama ke negara ini April tahun ini, Tun Abdullah Ahmad Badawi dijemput ke majlis makan malam tetapi Dr Mahathir tidak," kata portal itu.
Dr Mahathir juga dilaporkan tidak berkenan dengan tindakan Putrajaya memberi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada golongan berpendapatan rendah berjumlah RM4 billion, melibatkan 6 juta penduduk.
Dia juga menuntut syarikat penerbangan negara Malaysia Airlines yang mengalami masalah kerugian berbilion ringgit dan kehilangan 2 pesawat mengorban lebih 500 nyawa, diserahkan kepada jutawan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.
Asia Sentinel juga berkata Dr Mahathir menyalahkan Najib atas segala kejadian yang mengundang ketegangan kaum dan agama di negara ini.
"Bagaimanapun, sesuatu yang ironi di sini ialah Dr Mahathir menyokong kumpulan pejuang hak Melayu, Perkasa, yang diketuai  Datuk Ibrahim Ali," katanya.
"Perkasa kerap mengeluarkan kenyataan panas tentang keunggulan dan hak istimewa orang Melayu tetapi Putrajaya hanya berdiam diri."
Menurut Asia Sentinel, walaupun Dr Mahathir tidak lagi berkuasa sejak meletak jawatan pada 2003, negarawan berusia 89 tahun itu mempunyai rekod yang menggerunkan.
"Dr Mahathir memaksa bekas perdana menteri Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn meletak jawatan. Pada zamannya, Dr Mahathir pernah menerima cabaran dari mereka seperti Tengku Razaleigh Tengku Hamzah, Tun Musa Hitam dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Semua mereka ini sama ada menteri kewangan atau timbalan perdana menteri yang pernah cuba menyingkirkan Dr Mahathir tetapi tidak berjaya." – 21 Ogos, 2014.

Sumber : Yahoo News

BACA JUGA : MAMPUKAH MAHATHIR MENUMBANGKAN NAJIB

Monday 18 August 2014

Smart Fon Murah Tapi Terbaikk - NOKIA LUMIA 530




Mahu telefon murah? Microsoft pun tidak ketinggalan mengumumkan telefon pintar Lumia paling murah pernah mereka keluarkan Lumia 530 pada harga RM355 sahaja! Meskipun berharga murah, ia dilengkapi dengan sistem operasi Windows Phone 8.1 terkini, lengkap dengan kemaskini Cyan.
Nokia Lumia 530 dikuasakan CPU Qualcomm Snapdragon 200, 4-teras berkelajuan 1.2GHz dan GPU Adreno 302. Ia mempunyai skrin 4-inci beresolusi 854×480. Ia ditambah lagi dengan 512MB RAM, 4GB memori dalaman dan slot mikro-SD untuk tambahan memori. Microsoft turut memberikan storan awan OneCloud sebanyak 15GB percuma buat pengguna Lumia 530. Baterinya sebesar 1430mAh dan boleh diubah bila diperlukan. Ia mempunyai dwi slot untuk mikro sim-kad dan menyokong rangkaian 3G HSPA+ sepantas 21MBps.
Microsoft turut menyertakan beberapa aplikasi khas buat Lumia 530. Antaranya ialah Skype, Microsoft Office, Here Maps dan banyak lagi. Windows Phone Store sehingga kini mempunyai lebih 300,000 aplikasi. Aplikasi terkenal seperti Instagram, WhatsApp, Viber, LINE, WeChat, FitBit, AirAsia dan MyTeksi serta permainan seperti Asphalt 8 sedia dimuat turun untuk digunakan pada Lumia 530.
Walaupun penuh berkuasa, Lumia 530 tidak mempunyai kamera hadapan. Manakala kamera belakangnya yang boleh menangkap gambar 5MP, hanya mempunyai fokus tetap dan tidak mempunyai LED Flash.
Nokia Lumia 530 sudah mula dijual di Malaysia bermula 16 Ogos 2014 pada harga RM355. Ia boleh didapati dalam 4 warna iaitu oren, hijau cerah, putih dan kelabu.

sumber- yahoo.com

Wednesday 13 August 2014

PENYAKIT PROSTAT BENGKAK- (PENYAKIT SUSAH NAK KENCING)



Soalan:

Assalamualaikum Tuan Haji Lokman. Saya Mohamad Ali  umur 42 tahun dan saya mengalami masalah kekerapan membuang air kecil dan tidak lawas. Saya belum pergi ke klinik tapi ramai kawan-kawan saya mengatakan mungkin ada masalah prostat bengkak. Saya berasa hairan kerana setahu saya masalah prostat bengkak hanya berlaku pada pesakit yang dah berumur dan tua sedangkan saya belum mencecah umur 50. Saya ingin bertanya pendapat tuan tentang masalah saya ini dan seterusnya berubat dengan cara rawatan Al-Quran?

Jawapan:

Waalaikummussalam. Masalah tidak lawas dan kekerapan buang air kecil boleh disebabkan oleh berbagai punca dan perlu di diagnos dengan teliti. Kelemahan pundi kencing boleh menyebabkan masalah kekerapan pembuangan air kecil kerana injap pundi kencing yang lemah. Simtom prostat kanser juga sama dengan prostat bengkak namun penyakit ini berbeza kerana prostat bengkak (Benign Prostatic Hyperplasia - BPH) tidak merbahaya dan tidak boleh merebak ke tempat lain kerana ianya bukan kanser. Sebaiknya, buatlah pemeriksaan “Prostate Specific Antigen” (PSA) untuk mengenal pasti sama ada ianya kanser ataupun tidak. 
Sebanyak 98 peratus daripada keseluruhan kes prostat dikesan berlaku pada kaum lelaki yang berusia 55 tahun ke atas. Manakala purata umur kaum lelaki yang kebiasaannya dikenal pasti menghidapi kanser prostat adalah lebih kurang umur 68 tahun. Seperti kelenjar yang lain, beberapa masalah dan penyakit boleh timbul dalam kelenjar prostat . Penyakit dan masalah yang utama adalah BPH (Pembesaran Kelenjar Prostat ) dan kanser prostat. Adakalanya walaupun muda belia, prostat boleh juga bengkak oleh jangkitan kuman yang dikenali sebagai prostatitis.

Pengenalan & Ciri-ciri Umum

BPH adalah penyakit untuk kaum lelaki sebab hanya kaum lelaki sahaja yang mempunyai kelenjar prostat.  Kelenjar prostat ini terletak di bawah pundi kencing di sekeliling uretra, saluran yang membawa air kencing dari pundi kencing ke zakar. Fungsi kelenjar prostat ialah untuk membantu sistem reproduksi lelaki dengan menghasilkan cecair untuk membawa sperma dari testis ke zakar ketika ejakulasi.  Bila prostat semakin membengkak, ia boleh menekan dan membuat saluran uretra bertambah sempit dan ini menyebabkan masalah bila membuang air kecil.
Kebanyakan lelaki mengalami pertumbuhan prostat sepanjang hayat. Bila prostat membesar dan saluran uretra semakin tertekan dan sempit, pundi kencing mungkin tidak dapat mengeluarkan air kencing sepenuhnya sehingga benar-benar kosong. Dalam beberapa kes, sekatan dari pembesaran prostat boleh menyebabkan jangkitan kuman pada saluran kencing berulang dan secara beransur-ansur menyebabkan kerosakan pada pundi kencing atau pun buah pinggang.

Punca

Perubatan moden tidak pasti apa yang menyebabkan prostat membesar dan membengkak. Ia mungkin disebabkan oleh perubahan dalam keseimbangan hormon testosteron apabila lelaki semakin berumur.  Pembesaran prostat mungkin juga disebabkan oleh peningkatan dalam bilangan sel-sel (hiperplasia). Walau bagaimanapun, sebab yang tepat bagi peningkatan ini tidak diketahui. Pelbagai faktor yang mungkin terlibat, termasuk androgen (hormon lelaki), estrogen, faktor-faktor pertumbuhan dan lain-lain masalah.
Sepanjang pengalaman kami di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah merawat pesakit prostat bengkak, belum ada lagi terdapat kes-kes yang melibatkan elemen gangguan makhluk halus atau gangguan sihir menyebabkan masalah prostat bengkak.

Tanda-tanda

Biasanya terdapat tanda-tanda yang sederhana diperingkat awal. Mungkin aliran air kencing sedikit perlahan, atau perlu menunggu beberapa saat untuk mula membuang air kecil. Semakin berumur ianya boleh menjadi lebih bermasalah dan komplikasi. Kira-kira separuh daripada semua lelaki berusia lebih 75 tahun mempunyai beberapa gejala.
Tidak semua masalah kesukaran membuang air kecil di kalangan kaum lelaki adalah disebabkan oleh pembesaran prostat. Khususnya, jika anda kencing berdarah atau sakit dibahagian ari-ari, ia mungkin disebabkan oleh masalah pundi kencing, buah pinggang, atau jangkitan kuman di prostat.
Anda mungkin mengalami BPH jika gejala-gejala seperti di bawah berlaku.
  • Kerap kencing, contohnya kencing setiap 30 minit atau kurang terutamanya pada waktu malam dan selalunya jumlah air kencing adalah sedikit sahaja
  • Rasa ingin kencing yang datang secara mendadak
  • Pancutan air kencing tidak kuat walaupun diteran dengan kuat
  • Sukar untuk memulakan kencing
  • Kencing tidak tus (masih ada air kencing menitis keluar walaupun anda sudah kencing sehingga habis)
  • Perlu meneran untuk mengeluarkan air kencing
  • Perasaan bahawa anda perlu kencing lagi walaupun baru sahaja melakukannya.
Kehadiran tanda-tanda yang disenaraikan di atas tidak semestinya bermakna anda mempunyai masalah BPH, walau bagaimanpun gejala-gejala ini perlu diberi perhatian serius dan berjumpalah doktor atau datang ke Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Rawatan Moden

Pesakit dengan gejala ringan tidak memerlukan rawatan selain daripada pemerhatian dan pengawasan untuk memastikan keadaan mereka tidak bertambah buruk. Beberapa pilihan rawatan boleh didapati jika gejala bertambah teruk. Umumnya, cara rawatan adalah berbeza antara seorang pesakit dengan pesakit yang lain kerana ia bergantung kepada keadaan dan tahap saiz prostat yang membengkak.
Ubat-ubatan yang sedia ada berfungsi dengan dengan melonggarkan otot prostat dan leher pundi kencing. Ini boleh meningkatkan aliran air kencing dan merehatkan otot dalam prostat untuk mengurangkan ketegangan pada tiub air kencing. Ubat-ubat ini juga berfungsi menghalang penukaran testosteron kepada dihydrotestosterone hormon (DHT), yang memberi kesan kepada pertumbuhan kelenjar prostat. Dihydrotestosterone bertanggungjawab untuk membuat prostat membesar. Oleh itu, bila jumlah hormon dihydrotestosterone dapat dikurangkan ia akan membuat prostat mengecut.
Pembedahan adalah sebahagian daripada pilihan jika tanda-tanda semakin buruk, atau jika ubat-ubatan tidak membantu. Kira-kira satu dalam empat lelaki dengan pembesaran prostat akan menjalani pembedahan pada peringkat tertentu. Dalam operasi ini, hanya bahagian tengah prostat dikeluarkan (mewujudkan saluran yang luas untuk air kencing mengalir), meninggalkan bahagian luar belakang.
Terdapat banyak jenis pembedahan yang boleh membuang tisu prostat. Pakar bedah anda akan membincangkan pembedahan yang paling sesuai untuk anda dengan lebih terperinci. Kaedah-kaedah lain termasuk menggunakan gelombang mikro, gelombang frekuensi radio, ultrasound berintensiti tinggi dan tenaga elektrik voltan tinggi.

Rawatan Penyakit Prostat Bengkak (BPH) Dengan Menggunakan ayat-ayat Al-Quran

Daripada penerangan diatas, dapatlah kita fahami serba sedikit tentang penyakit prostat bengkak yang banyak berkaitan dengan hormon dan faktor usia. Sains dan agama mengajar kita bahawa proses penuaan adalah sesuatu yang normal dan ia merupakan kitar hidup bagi setiap manusia. Proses penuaan berlaku apabila terdapat pengurangan fungsi organ dan tisu tubuh secara menyeluruh. Oleh itu ia adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.
Didalam Islam banyak diterangkan dalam Al-Quran tentang proses penuan seperti ayat dibawah:
Dia-lah yang menciptakan kamu dari tanah kemudian dari setetes mani, sesudah itu dari segumpal darah, kemudian dilahirkannya kamu sebagai seorang anak, kemudian (kamu dibiarkan hidup) supaya kamu sampai kepada masa (dewasa), kemudian (dibiarkan kamu hidup lagi) sampai tua, di antara kamu ada yang diwafatkan sebelum itu. (Kami perbuat demikian) supaya kamu sampai kepada ajal yang ditentukan dan supaya kamu memahami(nya). - Ghafir 40: 67
Masalah umum bagi usia lanjut adalah keadaan fisikal yang lemah dan tak berdaya sebagaimana firman Allah swt dalam ayat dibawah:
"Allah, Dialah yang menciptakan kamu dari keadaan lemah, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah keadaan lemah itu menjadi kuat, kemudian Dia menjadikan (kamu) sesudah kuat itu lemah (kembali) dan beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya dan Dialah yang Maha mengetahui lagi Maha Kuasa." - Ar-Rum 30:54
Sains pula menunjukkan bahawa proses penuaan dipengaruhi oleh enzim yang terdapat didalam sel badan dimana sel-sel badan kita akan sentiasa membahagi dan setiap kali ia membahagi, ianya semakin memendek. Setiap sel di dalam tubuh kita bergetar di dalam sebuah sistem yang saksama, dan perubahan sekecil apapun dalam getaran ini boleh menimbulkan penyakit pada beberapa bahagian tubuh.
Dengan membaca ayat suci Al-Quran akan menghasilkan frekuensi yang akan menggetarkan sel-sel yang rosak untuk mengembalikan keseimbangannya. Perubahan pada getaran inilah yang  dapat menghalang atau melambatkan proses penuaan yang cepat ke atas hormon sel badan. Ini akan dapat mengurangkan bahaya keradangan dalam badan, mengseimbangkan hormon dalam badan dan meningkatkan proses metabolisme badan secara keseluruhan.
“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama [Allah]; [tetaplah atas] fithrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fithrah itu. Tidak ada perubahan pada fithrah Allah. [Itulah] agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” - Ar-Rum 30: 30
Hasilnya, pengamal Al-Quran yang dinyatakan di atas akan kelihatan lebih muda dan lebih bertenaga, dapat memperbaiki tahap kesihatan, kulit tidak cepat berkedut, sistem immuniti yang kuat, kurang risiko kanser dan penyakit-penyakit lain yang berkaitan dengan penuaan.
Di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, pesakit prostat bengkak akan diberi ayat-ayat berikut untuk mereka amalkan dan seterusnya disertai dengan doa kepada Allah untuk memohon penyembuhan.  Ayat-ayat tersebut adalah:
  • Surah Mukminun ayat 75 hingga 100
  • Surah An-Nahli ayat 90 hingga 110
  • Surah Al-Hajj ayat 31 hingga 55
  • Surah Al-Furqan ayat 16 hingga 31
  • Surah As-Soffat ayat 66 hingga 140
  • Surah As-Syu’araa ayat 201 hingga 227
Cara amalan ayat-ayat Al-Quran tersebut ialah, pesakit hendaklah membaca surah pertama iaitu surah Mukminun tiga kali pada waktu malam dan surah kedua iaitu surah An-Nahli tiga kali pada waktu siang. Pembacaan ini hendaklah diamalkan setiap hari selama tiga hingga empat minggu. Selepas membaca tiga kali, pesakit perlu memohon doa kepada Allah swt untuk penyembuhan. Selepas membaca dua surah pertama tadi, pesakit hendaklah mengulang amalan-amalan tersebut dengan surah-surah yang seterusnya.
Adalah lebih baik sekiranya pesakit datang sendiri untuk berjumpa dengan perawat-perawat Al-Hidayah terlebih dahulu supaya dapat kami memeriksa jikalau ada sebarang penyakit yang lain seperti kanser prostat yang kadang-kadang mempunyai gejala yang sama.

Penutup

Kepada semua pesakit prostat, janganlah berputus asa dalam mencari cara dan berikhtiar untuk merawat penyakit prostat. Janganlah menganggap penyakit prostat itu tidak dapat lagi ditolong dan hanya berserah kepada takdir. Yakinlah bahawa pertolongan pasti akan datang bagi mereka yang mencarinya.
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.” - Ar-Ra’d 13: 11
Dalam pengalaman kami merawat pesakit prostat, ramai di antara mereka yang menunjukkan banyak perubahan yang positif dari segi emosi, mental dan fisikal. Kebanyakkan pesakit dapat merasakan perbezaan ketara dimana badan terasa lebih sihat dan jiwa lebih tenang setelah berubat di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah dengan mengamalkan ayat-ayat Al-Quran yang diberikan.
ang penting, kita haruslah yakin bahawa segala sesuatu yang berlaku itu hanya boleh berlaku dengan izin Allah swt. Maka, jikalau ada masanya kita merasakan masalah penyakit prostat itu sudah tidak dapat lagi kita tahan dan perasaan putus asa mula menguasai perasaan kita, cepat-cepatlah kita ingat bahawa apa-apa yang berlaku merupakan suatu ujian daripada Allah swt.
InshaAllah, dengan izin & kuasa Allah Yang Maha Penyayang, kami di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah boleh membantu pesakit yang mempunyai masalah prostat ini.
Sekian.

Sumber- alhidayah-medic.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...