Dia
hanyalah seorang penggembala kambing biasa. Sekali pandang, tiada apa yang
istimewa tentang pemuda ini. Namun, dia mencatat sejarah hebat di kalangan
manusia. Malah, baktinya yang tersembunyi mengangkat dirinya ke martabat yang
amat tinggi. Sehingga Rasulullah SAW sendiri mengiktiraf bahawa memang benar
Uwais Al-Qarni adalah penghuni langit, bukan manusia di bumi!
Ketika
zaman Nabi Muhammad SAW, Uwais Al-Qarni tinggal di negeri Yaman. Hidupnya
sangat fakir dan dalam keadaan yatim. Dia cuma tinggal bersama seorang ibu yang
sudah tua dan lumpuh. Malahan, ibu tua itu telah buta dan hanya bergantung
harap pada Uwais untuk menguruskan kehidupannya. Di situlah mereka berdua
beranak meneruskan kehidupan tanpa ada sanak saudara.
Walaupun
miskin, Uwais kaya dengan budi bahasa dan amanah. Justeru, dia menjadi
kepercayaan orang untuk menjaga ternakan mereka pada waktu siang. Upah yang
diterima hanya cukup untuk menampung makan pakai mereka sehari-hari. Jika ada terlebih,
Uwais akan membantu tetangganya yang hidup miskin dan serba kekurangan seperti
dirinya.
Selain
itu, Uwais terkenal sebagai seorang anak yang taat kepada ibunya dan juga taat
beribadah. Dia seringkali berpuasa dan malam hari masanya terisi dengan ibadah
solat-solat sunat dan tahajud kepada Allah. Tatkala ibunya memerlukan bantuan,
Uwais tidak pernah mengeluh dan akan menguruskan ibunya terlebih dahulu sebelum
membuat perkara lain.
Sebenarnya,
Uwais ada menyimpan satu keinginan. Dia ingin sekali berjumpa sendiri dengan
Rasulullah SAW. Malah, hatinya merasa sedih setiapkali mendengar cerita
jirannya yang dapat bertemu dengan Rasulullah. Apakan daya, dia tidak boleh
meninggalkan ibunya yang uzur dan Uwais redha dengan keadaan itu.
Kecintaannya
kepada Rasulullah juga bukan calang-calang. Ketika mendengar Rasulullah
tercedera dan gigi baginda patah di dalam perang Uhud, Uwais lantas mengetuk
giginya dengan batu sehingga patah. Ini sebagai ungkapan cintanya kepada Nabi
Muhammad SAW sekalipun dia tidak pernah bertemu dengan baginda. Kerinduan dan
kecintaan kepada nabi menyebabkan dia bertanya sendiri, bilakah dia akan bersua
muka dengan kekasih Allah yang agung itu.
Tetapi
seketika kemudian, Uwais kembali sedar bukankah tanggungjawab utamanya adalah berbakti
kepada ibunya yang sudah uzur. Mana mungkin dia tegar meninggalkan wanita itu
keseorangan. Lagipun, ibu itu amat dikasihi dan dijaga bagai menatang minyak
yang penuh saban hari.
Sekian
waktu berlalu, kerinduan kepada Nabi SAW yang selama ini dipendamnya tak dapat
ditahannya lagi. Pada suatu hari ia datang mendekati ibunya, memberitahu
keinginannya dan memohon izin serta restu agar dapat pergi menemui Rasulullah
di Madinah. Ibunya merasa terharu mendengar permintaan Uwais dan berkata,
“Pergilah
wahai Uwais, Temuilah Nabi di rumahnya. Kelak, selesai berjumpa dengan baginda,
segeralah engkau pulang ke pangkuanku.”
Izin
itu diterima Uwais dengan gembira. Segera dia berkemas untuk berangkat. Dia
menyiapkan segala keperluan ibunya dan berpesan kepada jiran agar menemani
ibunya selama dia pergi. Sesudah bersalaman dan mencium ibunya, Uwais pun
berangkat ke Madinah.
Setelah
melalui perjalanan yang jauh, akhirnya Uwais sampai di kota Madinah. Dia terus
menuju ke rumah Rasulullah SAW dan mengetuknya. Salamnya dijawab seorang
wanita. Itulah Siti Aisyah r.a. Dikhabarkan Rasulullah tidak ada di rumah
kerana sedang berada di medan pertempuran. Kecewalah Uwais. Dari jauh dia
datang namun Nabi tidak dapat ditemuinya. Kerana teringatkan ibunya yang sudah
tua, hati Uwais serba salah. Perlukah dia menunggu Rasulullah? Di telinganya
terngiang-ngiang kata-kata ibunya yang menyuruh dia lekas pulang. Apa khabar
ibunya kini?
Akhirnya
kerana ketaatan kepada ibunya, Uwais berangkat pulang dengan segera. Kepada
Aisyah, dititipkan pesanan dan salam untuk Rasulullah.
Tidak
lama kemudian, Rasululullah SAW pulang dari medan peperangan. Kedatangan Uwais
disampaikan oleh Aisyah.
“Itulah
Uwais Al-Qarni, anak yang taat pada ibunya. Dialah penghuni langit,” ujar
baginda. Siti Aisyah dan sahabat tertegun.
Nabi
berkata lagi “Kalau kalian ingin berjumpa dengan dia, perhatikanlah dia
mempunyai tanda putih di tengah telapak tangannya.”
Sesudah
itu Nabi SAW memandang kepada Ali ra dan Umar ra seraya berkata, “Suatu ketika apabila
kalian bertemu dengan dia, mintalah doa dan istighfarnya, dia adalah penghuni
langit, bukan orang bumi.”
Waktu
terus berganti, dan Nabi SAW kemudian wafat. Kekhalifahan Abu Bakar pun telah
digantikan pula oleh Umar bin Khatab. Suatu ketika, Khalifah Umar teringat akan
sabda Nabi SAW tentang Uwais Al-Qarni, penghuni langit. Beliau segera
mengingatkan kembali sabda Nabi SAW itu kepada sahabat Ali bin Abi Thalib ra.
Sejak saat itu setiap ada kafilah yang datang dari Yaman, Khalifah Umar ra dan
Ali ra selalu menanyakan tentang Uwais Al Qarni, si fakir yang tak punya
apa-apa itu, yang kerjanya hanya menggembalakan kambing dan unta setiap hari?
Mengapa Khalifah Umar ra dan sahabat Nabi, Ali r.a, selalu menanyakan dia?
Rombongan
kalifah dari Yaman menuju Syam silih berganti, membawa barang dagangan mereka.
Suatu ketika, Uwais Al-Qarni turut bersama mereka. Rombongan kalifah itu pun
tiba di kota Madinah. Melihat ada rombongan kalifah yang baru datang dari
Yaman, segera Khalifah Umar ra dan Ali ra mendatangi mereka dan menanyakan
apakah Uwais Al-Qarni turut bersama mereka. Rombongan kafilah itu mengatakan
bahawa Uwais Al-Qarni ada bersama mereka, dia sedang menjaga unta-unta mereka
di perbatasan kota. Mendengar jawaban itu, khalifah Umar ra dan Ali ra segera
pergi menjumpai Uwais Al-Qarni.
Sesampainya
di khemah tempat Uwais berada, Khalifah Umar ra dan Ali ra memberi salam.
Tetapi ketika itu Uwais sedang solat. Usai solat, Uwais menjawab salam Khalifah
Umar ra dan Ali ra sambil mendekati kedua sahabat Nabi SAW ini dan menghulurkan
tangannya untuk bersalaman. Sewaktu berjabat, Khalifah Umar ra dengan segera
membalikkan tangan Uwais, untuk membuktikan kebenaran tanda putih yang berada
di telapak tangan Uwais, seperti yang pernah dikatakan oleh Nabi SAW. Memang
benar! Kelihatan tanda putih di telapak tangan Uwais Al-Qarni.
Wajah
Uwais Al-Qarni tampak bercahaya. Benarlah seperti sabda Nabi SAW bahawa dia itu
adalah penghuni langit. Khalifah Umar ra dan Ali ra menanyakan namanya, dan
dijawab, “Abdullah.” Mendengar jawaban Uwais, mereka tertawa dan mengatakan,
“Kami juga Abdullah, yakni hamba Allah. Tapi siapakah namamu yang sebenarnya?”
Uwais kemudian berkata, “Nama saya Uwais Al-Qarni”.
Dalam
perbualan mereka, dinyatakan ibu Uwais Al-Qarni telah meninggal dunia. Itulah
sebabnya, ia baru dapat turut bersama rombongan kafilah dagang saat itu.
Akhirnya, Khalifah Umar dan Ali ra memohon agar Uwais membacakan doa dan
istighfar untuk mereka. Uwais enggan dan dia berkata kepada Khalifah, “Saya lah
yang harus meminta doa pada kalian.”
Mendengar
perkataan Uwais, khalifah berkata, “Kami datang ke sini untuk mohon doa dan
istighfar dari anda.” Kerana desakan kedua sahabat ini, Uwais Al-Qarni akhirnya
mengangkat tangan, berdoa dan membacakan istighfar. Setelah itu Khalifah Umar
ra berjanji untuk menyumbangkan wang negara dari Baitul Mal kepada Uwais untuk
jaminan hidupnya. Segera sahaja Uwais marah dengan berkata, “Hamba mohon supaya
hari ini saja hamba diketahui orang. Untuk hari-hari selanjutnya, biarlah hamba
yang fakir ini tidak diketahui orang lagi.”
Beberapa
tahun kemudian, Uwais Al-Qarni pun meninggal dunia. Anehnya, pada saat dia akan
dimandikan, tiba-tiba sudah banyak orang yang berebut-rebut untuk
memandikannya. Dan ketika dibawa ke tempat pembaringan untuk dikafani, di sana
pun sudah ada orang-orang yang menunggu untuk mengkafannya. Demikian pula
ketika orang pergi hendak menggali kuburannya, di sana ternyata sudah ada
orang-orang yang menggali kuburnya hingga selesai. Ketika usungan dibawa menuju
ke perkuburan, orang berebut-rebut mengangkat jenazah dan mengiringinya.
Meninggalnya
Uwais Al-Qarni telah menggemparkan masyarakat kota Yaman. Banyak terjadi
peristiwa yang menghairankan. Ramai orang yang tidak dikenali datang untuk
menguruskan jenazahnya sehingga ke liang lahad sedangkan selama ini Uwais
hanyalah seorang fakir yang tidak dihiraukan orang. Bermula saat dia dimandikan
sampai ketika jenazahnya hendak diturunkan ke dalam kubur, di situ selalu ada
orang-orang yang telah siap melaksanakannya terlebih dahulu.
Penduduk
kota Yaman tercengang. Mereka saling bertanya-tanya, “Siapakah sebenarnya
engkau wahai Uwais Al-Qarni? Bukankah Uwais yang kita kenal, hanyalah seorang
fakir, yang tak memiliki apa-apa, yang kerjanya sehari-hari hanyalah sebagai
penggembala kambing dan unta? Tapi, ketika hari wafatmu, engkau menggemparkan
penduduk Yaman dengan hadirnya manusia-manusia asing yang tidak pernah kami
kenal. Mereka datang dalam jumlah yang begitu ramai. Mungkin mereka adalah para
malaikat yang diturunkan ke bumi, hanya untuk mengurus jenazah dan
pemakamanmu.”
Berita
meninggalnya Uwais Al-Qarni dan peristiwa-peristiwa ajaib yang berlaku ketika
hari beliau wafat telah tersebar ke serata tanah Yaman. Baru hari itu mereka
sedar siapa sebenarnya Uwais Al-Qarni. Dihari wafatnya, mereka mengakui bahawa
memang benar sebagaimana yang telah disabdakan oleh Nabi SAW, sesungguhnya
Uwais Al-Qarni adalah penghuni langit.
Dikopipes dari : mtaqtanwiriah.blogspot.
No comments:
Post a Comment