Islamnya Zaid bin Sanah seorang Pendita Yahudi
Diriwayatkan oleh At-Thabrani dari Abdullah bin Salaam r.a bahawa pada
suatu hari Rasulullah s.a.w keluar bersama sahabat-sahabat baginda, di
antaranya Ali bin Abi Thalib r.a.
Tiba-tiba datang menemui beliau seorang Badwi dengan berkenderaan, lalu
berkata; "Ya Rasulullah. di kampung itu ada sekumpulan manusia yang
sudah memeluk Agama Islam dengan mengatakan bahawa jika memeluk Islam,
mereka akan mendapat rahmat dan rezeki dari Allah. Tetapi sesudah mereka
semua peluk Islam, terjadilah musim kering dan panas yang bersangatan
sehingga mereka ditimpa bahaya kelaparan.
Saya khuatir ya Rasulullah jika mereka kembali kufur meninggalkan Islam
kerana soal perut, kerana mereka memeluk Islam juga adalah kerana soal
perut. Saya ingin agar kepada mereka engkau kirimkan bantuan untuk
mengatasi bahaya kelaparan yang menimpa mereka itu."
Mendengar keterangan itu. Rasulullah s.a.w lalu memandang Ali bin Abu
Thalib. Ali mengerti maksud pandangan itu sambil berkata, "Ya
Rasulullah, tidak ada lagi bahan makanan pada kita."
Zaid bin Sanah, seorang Pendita Yahudi yang turut mendengarkan laporan
orang Badwi dan jawapan Ali bin Abu Thalib lalu mendekatkan dirinya
kepada Rasulullah s.a.w dan berkata, "Wahai Muhammad, kalau engkau suka,
akan saya belikan kurma yang baik lalu kurma itu dapat engkau beli
padaku dengan hutang dan dengan perjanjian begitu, begini."
Berkata Rasulullah s.a.w, "Jangan dibeli kurma itu sekiranya kau
berharap aku berhutang kepadamu tetapi belilah kurma itu dan berilah
kami pinjam dari engkau."
"Baiklah." jawab Zaid bin Sanah.
Zaid bin Sanah pun membeli buah kurma yang baik-baik lalu menyerahkan
kepada Rasulullah s.a.w dengan perjanjian-perjanjian tertentu dan akan
dibayar kembali dalam jangka waktu yang tertentu pula. Sebaik saja
Rasulullah s.a.w menerima kurma itu, lalu diarahkan supaya buah kurma
tersebut diserahkan dan dibahagi-bahagikan kepada penduduk kampung yang
ditimpa bencana itu.
Berkata Zaid bin Sanah, "Dua atau tiga hari sebelum tiba tempoh
perjanjian pengembalian pinjaman seperti yang ditetapkan dalam
perjanjian itu, Rasulullah s.a.w keluar menziarahi orang mati bersama
Abu Bakar, Umar, Usman dan beberapa orang sahabat yang lain.
Setelah selesai menyembahyangkan jenazah tersebut, Rasulullah s.a.w
pergi ke suatu sudut untuk duduk lalu saya menghampirinya dengan
memegang erat-erat bajunya dan berkata kepadanya dengan
sekasar-kasarnya. "Hai Muhammad, bayar hutangmu kepadaku, aku tahu
bahawa seluruh keluarga Abdul Mutalib itu selalu melengah-lengahkan masa
untuk membayar hutang!"
Mendengar kata-kataku yang kasar itu, saya lihat wajah Umar bin Khattab
merah padam kemarahannya, lalu berkata, "Hai musuh Allah, engkau berkata
begitu kasar terhadap Rasulullah dan berbuat tidak sopan. Demi kalau
tidak kerana rasa hormatku terhadap Rasulullah s.a.w yang berada di
sini, sungguh tentu akan ku potong lehermu dengan pedangku ini."
Rasulullah memandang kepadaku dalam keadaan tenang dan biasa saja, lalu
berkata kepada Umar, "Hai Umar, antara saya dengan dia ada urusan hutang
piutang yang belum selesai. Sebaik-baiknya engkau menyuruh aku membayar
hutang itu dan menganjurkan kepadanya untuk berlaku baik menuntut
hutangnya. Hai Umar, pergilah bersama dia ke tempat penyimpanan kurma,
bayarlah hutang itu kepadanya dan tambahlah 20 gantang sebagai hadiah
untuk menghilangkan rasa marahnya."
Setelah Umar membayar hutang itu dengan tambahan tersebut, lalu Zaid bin
Sanah pun bertanya kepada Umar, "Kenapa ditambah hai Umar?" Berkata
Umar, "Diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w tambahan ini sebagai imbangan
kemarahan engkau."
"Hai Umar, kenalkah engkau siapa aku?" Tanya Zaid bin Sanah. "Tidak." Jawab Umar.
"Akulah Pendita Zaid bin Sanah."
"Engkau ini Pendita Zaid bin Sanah?" Tanya Umar agak terkejut. "Ya." Jawab Zaid bin Sanah ringkas.
"Kenapa engkau berlaku demikian rupa terhadap Rasulullah s.a.w? Engkau
berlaku begitu kasar dan begitu menghina?" Tanya Umar lagi.
Zaid bin Sanah menjawab, "Hai
Umar, segala tanda kenabian yang aku dapati dalam kitab Taurat sudah
aku temui pada diri Rasulullah itu. Selain dua perkara yang aku
sembunyikan dan tidak aku sampaikan kepada Rasulullah iaitu bahawa
perasaan santunnya selalu mengalahkan perasaan marahnya. Makin marah
orang kepadanya, makin bertambah rasa kasih sayangnya terhadap orang
yang marah itu.
Dengan kejadian itu hai Umar yang sengaja diatur, aku sudah tahu dan
lihat sendiri kedua sifat itu terdapat pada diri Muhammad itu. Aku
bersumpah di depanmu hai Umar, bahawa aku sungguh-sungguh suka dan redha
dengan Allah sebagai Tuhanku, Islam sebagai agamaku dan Muhammad
sebagai nabi dan ikutanku."
Umar dan Zaid bin Sanah pun kembali mendapatkan Rasulullah s.a.w. Sebaik
saja berhadapan dengan Rasulullah s.a.w, lalu berkata Zaid bin Sanah,
"Aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan bersaksi bahawa
Muhammad adalah hamba Allah dan rasulNya."
Zaid bin Sanah turut berjuang dan bertempur bersama Rasulullah s.a.w dan
kaum muslimin hampir di setiap medan perang dan akhirnya mati syahid di
medan Perang Tabuk.
Demikianlah caranya bagaimana Zaid bin Sanah, seorang Pendita Yahudi
menganut Agama Islam , beriman dengan Rasulullah s.a.w dan bersumpah
akan membela Islam sehingga akhir hayatnya. SubhanAllah .......
[Tulisan oleh: Farah Hanan Abd. Wahid - Majalah Dakwah, Julai 1993]
SUMBER : Fendi Tazkirah
Nota Pengajaran :
1) Bagi yg memberi hutang tuntutlah hutang dengan baik dan sopan bukan dengan paksaan macam along. Itu ditegah dalam Islam
2) Bagi yang berhutang bertenang kalau di marah oleh pemberi hutang. Bayarlah hutang mengikut perjanjian.
3) Buatlah hitam putih perjanjian hutang supaya tak bergaduh pada masa akan datang.
4) Contohilah salah satu sifat hebat nabi iaitu perasaan santunnya mengalahkan perasaan marahnya. Makin orang marah makin ia sayang pada orang itu.
No comments:
Post a Comment