TABUNG HAJI: MANIPULASI DAN MUNGKIR JANJI PERINGKAT TINGGI
DALAM kita beraya, ramai
saudara-mara, suku-sakat dan kawan-taulan kita sedang bersiap sedia untuk ke
Tanah Suci mengerjakan haji. Kalau ikut laman web rasmi Lembaga Urusan Tahun
Haji (TH), penerbangan pertama musim haji tahun ini adalah pada 16 Ogos. Sejak
ditubuhkan pada tahun 1963, TH amat berjasa kepada umat Islam Malaysia. Ia
bukan sahaja membolehkan mereka mengerjakan haji dengan lebih selesa malah
membantu menjana ekonomi umat Islam melalui penabungan dan pelaburan. Walaupun
berlaku sekali dua penyelewengan dan salah tadbir, TH umunya diuruskan dengan
baik sehinggalah terbongkar rahsia penglibatannya dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Mei lalu.
Bakal haji: Amanah mereka di bahu Tabung Haji
Sejak itu nama TH tercemar dan ia terpaksa
berdolak-dalik serta berbohong dengan umat Islam dalam percubaannya
menghalalkan urus niaga dengan 1MDB itu. Ambil contoh Pengerusinya, Abdul Azeez
Abdul Rahim yang juga Ahli Parlimen Barisan Nasional (Baling), yang berkata Mei
lalu tanah Tun Razak Exchange (TRX) akan dijual dengan keuntungan dan ramai
pembeli menunjukkan minat. Tapi selepas hampir tiga bulan belum ada khabar
berita yang ia sudah dijual sebaliknya timbul dolak-dalik yang tanah itu tidak
perlu dijual kerana ia berupa pelaburan jangka panjang yang baik. Masalahnya
ini bukan calang-calang arahan dan bukan main-main punya janji. Arahan jual
dibuat oleh Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak sendiri dan janji untung
dibuat oleh Abdul Azeez.
Setiap hari berlalu tanah itu tidak dijual,
Abdul Azeez “berbohong” kepada khalayak dan ingkar kepada Perdana Menteri. Hakikatnya,
dalam keadaan sekarang dan dengan kontroversi 1MDB yang makin memuncak, tidak
banyak pihak yang berani membeli tanah TH itu. Lagipun mengapa harus beli atas
tangan sedangkan masih banyak tanah TRX yang belum dijual. TH beli tanah seluas
0.63 hektar itu dengan harga RM188.5 juta sebagai sebahagian daripada operasi
rahsia untuk menyelamatkan 1MDB yang berhutang RM42 bilion dan ketandusan wang.
Selepas dipersoalkan oleh rakyat jelata yang peduli dan digerudi oleh media
atas talian, TH mengaku ia bukan sekadar membeli tanah malah telah memberi
“hutang” sebanyak RM920.8 juta 1MDB dengan membeli sukuk Bandar Malaysia.
Sukuk adalah surat hutang syariah dan Bandar
Malaysia adalah tapak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sungai Besi yang
dijual murah kepada 1MDB.
TH Mangsa Manipulasi Peringkat
Tinggi
Kerajaan menjual tapak TRX kepada 1MDB dengan
harga sekitar RM60 sekaki persegi tetapi 1MDB menjual kepada TH pada kadar
RM2,774 sekaki persegi – 46 kali ganda. Jadi semuanya keterdedahan (exposure)
TH kepada hutang 1MDB sebanyak RM42 bilion itu ialah RM1,109.3 bilion. TH
sebenarnya telah “kena main” dan dianaktirikan. Ia membayar RM2,774 sekaki
persegi berbanding RM2,300 yang dibayar oleh Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP)
di tapak yang sama. Sentuhan Sang Kelembai 1MDB menyebabkan ramai penyimpan dan
bakal penyimpan hilang keyakinan kepada TH.
Ketua Pegawai Eksekutif TH, Ismee Ismail sendiri
mengaku kepada akhbar Berita Harian bahawa ramai penyimpan mengeluarkan
simpanan mereka apabila rahsia urus niaga TH-1MDB terbongkar. Simpanan bulanan
merosot kepada RM40 juta dalam bulan Mei berbanding purata RM71 juta bagi empat
bulan pertama tahun ini. 1MDB sudah menjadi “toxic” (beracun) kerana 1MDB. Tambah
membimbangkan ialah Ismee juga adalah ahli lembaga pengarah 1MDB. Nampak wujud
percanggahan kepentingan (conflict of interest) dan unsur persekongkolan. Inilah
bencana sumpahan Gedembai 1MDB ke atas TH. Badan Islam itu terpaksa berbohong
dan bersembunyi-sembunyi dengan para penyimpannya dan dengan seluruh rakyat
jelata. Jadi apa yang ditakuti dan dipertikaikan oleh banyak pihak apabila
Abdul Azeez dilantik menjadi Pengerusi TH pada tahun 2013 kini menjadi
kenyataan.
Sumbang Mahram Korporat
(Corporate Incest)
Ciri-ciri sumbang mahram korporat yang melibat
Mohd Najib, Abdul Azeez dan Ismee ini terbukti merosakkan, di samping
mempersenda urus tadbir korporat (corporate governance) dan kewibawaan
pengurusan entiti-entiti yang terlibat.
Ismee juga ahli lembaga pengarah1MDB
Walaupun kekusutan membabitkan 1MDB dan
entiti-entiti lain yang bersekedudukan dengannya boleh dirungkai melalui
“corporate restructuring” (penyusunan semula korporat), tetapi nawaitu yang
membawa kepada penubuhan 1MDB tidak boleh dilupakan begitu saja.Apakah niat
sebenar Mohd Najib dan para penasihatnya (termasuk Jho Low) menubuhkan 1MDB
dengan modal berbayar RM1 juta tetapi berhutang hingga RM42 bilion? Di manakah
amalan urus tadbir mengenai “debt to equity ratio” (nisbah hutang kepada
modal)?
Jawapannya diberikan oleh Mohd Najib sendiri
apabila beliau tidak menafikan akaun AmBank Islamic atas nama beliau yang
pernah mengandungi simpanan RM2.63 bilion. Setiap hari berlalu dan Mohd Najib membisu
mengenai akaun itu, semakin ramai orang akan membuat andaian dan percaya
wujudnya pertalian antara urus niaga luar biasa 1MDB dan berbilion ringgit wang
1MDB yang tidak dapat disahkan (unaccounted for). Adalah hak dan budi bicara
beliau serta jentera propaganda beliau mencetuskan pelbagai tipu-helah bagi
meyakinkan audiens yang tidak tahu apa-apa mengenai ekonomi, perniagaan dan
kewangan canggih.
Tetapi rakyat jelata yang celik ekonomi, perniagaan
dan kewangan tidak boleh diyakinkan lagi. Mereka boleh membezakan antara kaca
dan permata. –
Sumber : http://kadirjasin.blogspot.com/