Tuesday, 24 March 2015

HUDUD- HUKUMAN REJAM : PENCERAHAN TERBAIK OLEH USTAZ WAN JI





Hukum rejam – Wan Ji Wan Hussin

Jika kita perhatikan kepada nas-nas yang cerita tentang rejam, ia tidak ada satu pun termaktub dalam al-Quran. Nas-nas tentang rejam, semuanya termaktub dalam hadis.

Antara nas-nas tersebut adalah seperti berikut:

Pertama, Nabi SAW menyatakan supaya kita perlu ambil dari apa yang diajar oleh Nabi SAW, iaitu dikenakan hukuman sebat seratus rotan bagi orang yang belum berkahwin, sedangkan rejam bagi mereka yang sudah berkahwin. (sahih muslim, hadis no: 3199, Ibn majah, hadis no: 2540, musnad ahmad, hadis no: 15345)

Kedua, dalam hadis dari Musawir bin Abdillah bahawa dia bertanya Abu Barzah, apakah Rasulullah SAW pernah merejam. Dia menjawab Rasulullah SAW merejam seorang lelaki bernama Maiz bin Malik. (musnad ahmad, hadis no: 18960)

Ketiga, Umar bin al-Khattab juga pernah berkata tentang hukuman rejam kepada penzina yang berkahwin. Ia bukan sekadar dilakukan oleh Rasulullah SAW, malahan dilakukan oleh Umar sendiri. (Sunan Ibn Majah, hadis no : 2543, musnad ahmad, hadis no: 20261)

Keempat, seorang lelaki bernama al-Syaibani bertanya kepada Abdullah bin Abi Awfa tentang pernahkah Rasulullah SAW merejam. Dia menjawab bahawa Nabi SAW pernah merejam. Lalu al-Syaibani bertanya lagi, apakah sebelum atau selepas turunnya surah al-Nur yang menceritakan hukuman zina adalah sebat seratus rotan. Lalu, Abdullah itu menjawab bahawa dia tidak tahu. (al-Bukhari, hadis no: 6335, muslim, hadis no: 3214) Kalau dalam riwayat Ahmad pula, dinyatakan Rasulullah SAW merejam lelaki yahudi dan perempuan yahudi yang berzina. (musnad ahmad, hadis no: 18338)

Jika kita lihat dalam al-Quran, tidak terdapat satu pun ayat yang menyatakan hukuman bunuh kepada penzina. Hukuman tersebut sekadar sebat seratus sebatan sepertimana dalam surah al-Nur, ayat 2. Namun begitu, yang wujud dalam al-Quran adalah penjagaan nyawa manusia, sepertimana dalam surah al-An’am ayat 151 dan surah al-Isra’, ayat 33. Dalam al-Quran, bunuh hanya disebut dalam dua kesalahan sahaja, iaitu muharabah dalam surah al-maidah, ayat 33 dan qisas dalam surah al-Baqarah, ayat 178. Namun, apabila kita merujuk pula kepada hadis-hadis, didapati terdapat pengamalan rejam bagi penzina yang mohsan. Perlu kita sedari, Sesungguhnya hukuman bunuh merupakan hukuman yang cukup berat. Penilaiannya berat itu boleh diterima akal dan fitrah manusia. Makanya, dalam perkara yang begitu penting, masakan tidak termaktub dalam al-Quran yang bersifat mutawatir, tetapi sekadar riwayat yang bersifat ahad? Lebih-lebih lagi, dalam kaedah usul dalam mazhab Hanafi menyatakan bahawa hadis ahad yang bersifat zanni tidak boleh mentakhsiskan umum al-Quran yang bersifat Qatie. 

Memahami perkara itu, tidak hairan al-Imam Abu Zuhrah ada mengupas hukum rejam kepada orang berzina bukan hukuman hudud, tetapi merupakan pensyariatan kaum terdahulu (syar' man Qablana) yang dimansukhkan dengan ayat sebat seratus rotan berdasarkan ayat 2 dari surah al-Nur. Menurut al-Qaradawi, dalam komentar al-Imam Abu Zuhrah tentang hukum rejam, beliau menyatakan, “Ia (rejam) adalah syariah yahudi yang dinasakhkan dengan agama rahmat (Islam)” (Fatawa al-Zarqa’, halaman 393) Alasan menunjukkan bahawa ia adalah amalan kaum terdahulu adalah merujuk kepada beberapa hujah berikut: Pertama, sifat syariat untuk yahudi itu sendiri bersifat keras, seperti bertaubat dengan cara bunuh diri. Sepertimana firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 54, “Dan (ingatlah), ketika Musa berkata kepada kaumnya: "Hai kaumku, sesungguhnya kamu telah menganiaya dirimu sendiri kerana kamu menjadikan anak lembu (sembahanmu), maka bertaubatlah kepada Tuhan yang menjadikan kamu dan bunuhlah dirimu. Hal itu adalah lebih baik bagimu pada sisi Tuhan yang menjadikan kamu; maka Allah akan menerima taubatmu. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.”

Kedua, hadis kisah Abdullah bin Salam yang membangkang keputusan yang dibuat oleh ilmuan yahudi yang tidak melakukan hukuman rejam terhadap dua orang yahudi; lelaki dan perempuan yang berzina. Lalu, dalam kejadian tersebut, ilmuan yahudi itu diminta hadir kepada Nabi SAW untuk membawa kitab rujukan mereka supaya dibaca dihadapan Nabi SAW. Apabila dibaca, didapati hukuman yang termaktub dalam taurat tentang kesalahan zina adalah rejam sehingga mati. (al-Bukhari, hadis no: 3363, Muslim, hadis no: 3211, Sunan Abu Daud, hadis no: 3142, Ibn Majah, hadis no: 2548, Musnad ahmad, hadis no: 17794) Melihat kepada perkara ini, kita akan dapati mengikut syariat terdahulu, khususnya taurat, hukuman bagi penzina dengan rejam merupakan syariat yang diamalkan dalam syariat yahudi. Makanya, tidak ditolak kemungkinan beberapa hadis yang menyatakan berlaku rejam kepada penzina yang dilakukan oleh Rasulullah SAW itu sebenarnya merujuk kepada keadaan di awal Islam. Lalu, ia dimansukhkan dengan firman Allah dari surah al-Nur, ayat ke-2 yang menyatakan bahawa hukuman penzina adalah dengan sebat seratus rotan sahaja. Ia lebih dilihat amat sesuai dengan syariat nabi Muhammad SAW yang bersifat kesucian dari sebarang kesyirikan dan toleransi atau samhah. (Musnad Ahmad, hadis no: 21260) Ia dikuatkan lagi, dengan hadis al-Syaibani yang bertanya kepada Abdullah bin Abi Awfa yang mengakui bahawa Rasulullah SAW pernah melakukan rejam kepada penzina. Tetapi, bila ditanya oleh al-Syaibani, apakah tindakan itu dilakukan sebelum penurunan surah al-Nur ataupun selepas. Dijawab oleh Abdullah bin Abi Awfa dengan jawapan, “aku tidak tahu” (al-Bukhari, hadis no: 6335, muslim, hadis no: 3214) Ini dilihat pada hadis riwayat al-bukhari, yang tidak dinyatakan siapa yang direjam oleh Rasulullah SAW tersebut. Tetapi, jika dilihat pada matan hadis dalam riwayat imam Ahmad pula, dinyatakan dan disebut orang yang direjam oleh Rasulullah SAW itu adalah yahudi yang berzina. (musnad ahmad, hadis no: 18338)

Jika kita melihat epada amalan para sahabat pula, kita akan dapati ada satu hadis menyatakan hukuman rejam ini dilakukan oleh Umar bin al-Khattab. (Sunan Ibn Majah, hadis no: 2543, musnad ahmad, hadis no: 20261) Sesuatu athar atau pengalaman sahabat, ia tidak boleh dibuang terus, sebaliknya perlu diperhatikan maksudnya apabila didapati menyanggahi dengan umum al-Quran. Memandangkan Nabi SAW dan para sahabat seperti Umar dan Ali adalah pemimpin kerajaan, tindakan mereka mengamalkan hukuman ini dinilai sebagai takzir, bukan hudud. Makanya, tindakan mereka itu tertakluk di bawah maksud pengurusan pemerintah berdasarkan kepada kemaslahatan rakyat. Mendakwa hukuman rejam ini dibawah hudud agak ganjil jika dilihat dari susunan peri-penting mengikut susunan dalam hal maqasid. Ini kerana, mengikut susunan, menjaga nyawa itu lebih didahulukan berbanding menjaga maruah. (al-Amidi, al-Ihkam fi Usul al-Ahkam, jilid 3, halaman 158) Berzina adalah perkara yang berkaitan dengan penjagaan bagi maruah, sedangkan rejam itu sendiri melibatkan kepada penjagaan nyawa. Jika didakwa dalam syariat Muhammad ada hukum rejam, maka ia seperti menyalahi dengan susunan ini.

Tidak dinafikan, hukum rejam sememangnya wujud dalam nas hadis yang ulama seperti Syaikh Mustafa al-Zarqa nyatakan sebagai hukuman taz’ir, makanya ia terletak kepada pemerintah dalam pelaksanaan tersebut. Namun begitu, sesuatu perlaksanaan pastikan tidak menafikan maqasid ammah. Antaranya, tidak mendatangkan kerosakan yang lebih besar dan jangka panjang, seperti imej islam yang bakal dilihat seperti ganas dan seumpamanya. Dr Abdullah bin Bayyah ada menyatakan, “antara tujuan syariah adalah menjaga imej baik bagi agama Islam”.

Wallahualam.  sumber : Warga Marhaen 22/03/2015

Komentar Pakcik :

1) Pada pendapat pakcik (maaf kalau salah) jika betul hukuman rejam itu takda nas dalam al quran, maka ia wajib dibetulkan dan enakmen hudud Kelantan perlu dipinda supaya ianya harmoni dengan kehendak ajaran Islam seperti yg dinyatakan oleh Ust Wan Ji. 

2) Adalah lebih sempurna jikalau Hudud itu dilaksanakan apabila PR berkuasa di mana undang-undang Ilahi ini diberi penerangan dan kefahaman yang sempurna kepada rakyat Islam dan bukan Islam. Janganlah terburu-buru.

3) Kepada yang tidak memahami atau tahu apa itu hudud carilah pengetahuan dahulu sebelum menentang baik kamu Muslim atau Non Muslim.

4) Pada pendapat pakcik orang yang menentang hudud adalah penjenayah-penjenayah kerana mereka takut akan hukuman hudud itu sendiri. Kalau tak buat salah buat apa nak takut. 

5) Yang paling pakcik pelik ialah Non Muslim (DAP,MCA, GERAKAN dll) yang menentang hudud, dah terang lagi nyata undang-undang hudud ini tidak terpakai kepada Non Muslim, dia pulak lebih2 nak tentang. Jadi pakcik cadangkan hudud ini terpakai kepada semua Muslim dan non Muslim.

1 comment:

  1. saya rasa ini adalah ujian kepada pangangan yang menyatakan kuasai dulu putrajaya barulah bentang hudud (sebenarnya kanun jenayah syariah kelantan yang di dalamnya turut terkandung hudud)...

    di mana kita lihat jika sebelum mendapat kuasa lagi sudah sebegini hebat tentangan dari mereka....

    bagaimanakah pula hebatnya tentangan yang akan diberikan nanti agaknya bila dah menguasai putrajaya?

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...