Hukum rejam – Wan Ji Wan Hussin
Jika kita perhatikan kepada nas-nas
yang cerita tentang rejam, ia tidak ada satu pun termaktub dalam al-Quran.
Nas-nas tentang rejam, semuanya termaktub dalam hadis.
Antara nas-nas tersebut adalah
seperti berikut:
Pertama, Nabi SAW menyatakan supaya
kita perlu ambil dari apa yang diajar oleh Nabi SAW, iaitu dikenakan hukuman
sebat seratus rotan bagi orang yang belum berkahwin, sedangkan rejam bagi
mereka yang sudah berkahwin. (sahih muslim, hadis no: 3199, Ibn majah, hadis
no: 2540, musnad ahmad, hadis no: 15345)
Kedua, dalam hadis dari Musawir bin
Abdillah bahawa dia bertanya Abu Barzah, apakah Rasulullah SAW pernah merejam.
Dia menjawab Rasulullah SAW merejam seorang lelaki bernama Maiz bin Malik.
(musnad ahmad, hadis no: 18960)
Ketiga, Umar bin al-Khattab juga
pernah berkata tentang hukuman rejam kepada penzina yang berkahwin. Ia bukan
sekadar dilakukan oleh Rasulullah SAW, malahan dilakukan oleh Umar sendiri.
(Sunan Ibn Majah, hadis no : 2543, musnad ahmad, hadis no: 20261)
Keempat, seorang lelaki bernama
al-Syaibani bertanya kepada Abdullah bin Abi Awfa tentang pernahkah Rasulullah
SAW merejam. Dia menjawab bahawa Nabi SAW pernah merejam. Lalu al-Syaibani
bertanya lagi, apakah sebelum atau selepas turunnya surah al-Nur yang
menceritakan hukuman zina adalah sebat seratus rotan. Lalu, Abdullah itu
menjawab bahawa dia tidak tahu. (al-Bukhari, hadis no: 6335, muslim, hadis no:
3214) Kalau dalam riwayat Ahmad pula, dinyatakan Rasulullah SAW merejam lelaki
yahudi dan perempuan yahudi yang berzina. (musnad ahmad, hadis no: 18338)
Jika kita lihat dalam al-Quran,
tidak terdapat satu pun ayat yang menyatakan hukuman bunuh kepada penzina.
Hukuman tersebut sekadar sebat seratus sebatan sepertimana dalam surah al-Nur,
ayat 2. Namun begitu, yang wujud dalam al-Quran adalah penjagaan nyawa manusia,
sepertimana dalam surah al-An’am ayat 151 dan surah al-Isra’, ayat 33. Dalam
al-Quran, bunuh hanya disebut dalam dua kesalahan sahaja, iaitu muharabah dalam
surah al-maidah, ayat 33 dan qisas dalam surah al-Baqarah, ayat 178. Namun,
apabila kita merujuk pula kepada hadis-hadis, didapati terdapat pengamalan
rejam bagi penzina yang mohsan. Perlu kita sedari, Sesungguhnya hukuman bunuh
merupakan hukuman yang cukup berat. Penilaiannya berat itu boleh diterima akal
dan fitrah manusia. Makanya, dalam perkara yang begitu penting, masakan tidak
termaktub dalam al-Quran yang bersifat mutawatir, tetapi sekadar riwayat yang
bersifat ahad? Lebih-lebih lagi, dalam kaedah usul dalam mazhab Hanafi menyatakan
bahawa hadis ahad yang bersifat zanni tidak boleh mentakhsiskan umum al-Quran
yang bersifat Qatie.
Memahami perkara itu, tidak hairan al-Imam Abu Zuhrah ada
mengupas hukum rejam kepada orang berzina bukan hukuman hudud, tetapi merupakan
pensyariatan kaum terdahulu (syar' man Qablana) yang dimansukhkan dengan ayat
sebat seratus rotan berdasarkan ayat 2 dari surah al-Nur. Menurut al-Qaradawi,
dalam komentar al-Imam Abu Zuhrah tentang hukum rejam, beliau menyatakan, “Ia
(rejam) adalah syariah yahudi yang dinasakhkan dengan agama rahmat (Islam)”
(Fatawa al-Zarqa’, halaman 393) Alasan menunjukkan bahawa ia adalah amalan kaum
terdahulu adalah merujuk kepada beberapa hujah berikut: Pertama, sifat syariat
untuk yahudi itu sendiri bersifat keras, seperti bertaubat dengan cara bunuh
diri. Sepertimana firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 54, “Dan
(ingatlah), ketika Musa berkata kepada kaumnya: "Hai kaumku, sesungguhnya
kamu telah menganiaya dirimu sendiri kerana kamu menjadikan anak lembu (sembahanmu),
maka bertaubatlah kepada Tuhan yang menjadikan kamu dan bunuhlah dirimu. Hal
itu adalah lebih baik bagimu pada sisi Tuhan yang menjadikan kamu; maka Allah
akan menerima taubatmu. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Penerima taubat lagi Maha
Penyayang.”
Kedua, hadis kisah Abdullah bin
Salam yang membangkang keputusan yang dibuat oleh ilmuan yahudi yang tidak
melakukan hukuman rejam terhadap dua orang yahudi; lelaki dan perempuan yang
berzina. Lalu, dalam kejadian tersebut, ilmuan yahudi itu diminta hadir kepada
Nabi SAW untuk membawa kitab rujukan mereka supaya dibaca dihadapan Nabi SAW.
Apabila dibaca, didapati hukuman yang termaktub dalam taurat tentang kesalahan
zina adalah rejam sehingga mati. (al-Bukhari, hadis no: 3363, Muslim, hadis no:
3211, Sunan Abu Daud, hadis no: 3142, Ibn Majah, hadis no: 2548, Musnad ahmad,
hadis no: 17794) Melihat kepada perkara ini, kita akan dapati mengikut syariat
terdahulu, khususnya taurat, hukuman bagi penzina dengan rejam merupakan
syariat yang diamalkan dalam syariat yahudi. Makanya, tidak ditolak kemungkinan
beberapa hadis yang menyatakan berlaku rejam kepada penzina yang dilakukan oleh
Rasulullah SAW itu sebenarnya merujuk kepada keadaan di awal Islam. Lalu, ia
dimansukhkan dengan firman Allah dari surah al-Nur, ayat ke-2 yang menyatakan
bahawa hukuman penzina adalah dengan sebat seratus rotan sahaja. Ia lebih
dilihat amat sesuai dengan syariat nabi Muhammad SAW yang bersifat kesucian
dari sebarang kesyirikan dan toleransi atau samhah. (Musnad Ahmad, hadis no:
21260) Ia dikuatkan lagi, dengan hadis al-Syaibani yang bertanya kepada
Abdullah bin Abi Awfa yang mengakui bahawa Rasulullah SAW pernah melakukan
rejam kepada penzina. Tetapi, bila ditanya oleh al-Syaibani, apakah tindakan
itu dilakukan sebelum penurunan surah al-Nur ataupun selepas. Dijawab oleh
Abdullah bin Abi Awfa dengan jawapan, “aku tidak tahu” (al-Bukhari, hadis no:
6335, muslim, hadis no: 3214) Ini dilihat pada hadis riwayat al-bukhari, yang
tidak dinyatakan siapa yang direjam oleh Rasulullah SAW tersebut. Tetapi, jika
dilihat pada matan hadis dalam riwayat imam Ahmad pula, dinyatakan dan disebut
orang yang direjam oleh Rasulullah SAW itu adalah yahudi yang berzina. (musnad
ahmad, hadis no: 18338)
Jika kita melihat epada amalan para
sahabat pula, kita akan dapati ada satu hadis menyatakan hukuman rejam ini
dilakukan oleh Umar bin al-Khattab. (Sunan Ibn Majah, hadis no: 2543, musnad
ahmad, hadis no: 20261) Sesuatu athar atau pengalaman sahabat, ia tidak boleh
dibuang terus, sebaliknya perlu diperhatikan maksudnya apabila didapati
menyanggahi dengan umum al-Quran. Memandangkan Nabi SAW dan para sahabat
seperti Umar dan Ali adalah pemimpin kerajaan, tindakan mereka mengamalkan
hukuman ini dinilai sebagai takzir, bukan hudud. Makanya, tindakan mereka itu
tertakluk di bawah maksud pengurusan pemerintah berdasarkan kepada kemaslahatan
rakyat. Mendakwa hukuman rejam ini dibawah hudud agak ganjil jika dilihat dari
susunan peri-penting mengikut susunan dalam hal maqasid. Ini kerana, mengikut
susunan, menjaga nyawa itu lebih didahulukan berbanding menjaga maruah.
(al-Amidi, al-Ihkam fi Usul al-Ahkam, jilid 3, halaman 158) Berzina adalah
perkara yang berkaitan dengan penjagaan bagi maruah, sedangkan rejam itu
sendiri melibatkan kepada penjagaan nyawa. Jika didakwa dalam syariat Muhammad
ada hukum rejam, maka ia seperti menyalahi dengan susunan ini.
Tidak dinafikan, hukum rejam
sememangnya wujud dalam nas hadis yang ulama seperti Syaikh Mustafa al-Zarqa
nyatakan sebagai hukuman taz’ir, makanya ia terletak kepada pemerintah dalam
pelaksanaan tersebut. Namun begitu, sesuatu perlaksanaan pastikan tidak
menafikan maqasid ammah. Antaranya, tidak mendatangkan kerosakan yang lebih
besar dan jangka panjang, seperti imej islam yang bakal dilihat seperti ganas
dan seumpamanya. Dr Abdullah bin Bayyah ada menyatakan, “antara tujuan syariah
adalah menjaga imej baik bagi agama Islam”.
Wallahualam. sumber : Warga Marhaen 22/03/2015
Komentar Pakcik :
1) Pada pendapat pakcik (maaf kalau salah) jika betul hukuman rejam itu takda nas dalam al quran, maka ia wajib dibetulkan dan enakmen hudud Kelantan perlu dipinda supaya ianya harmoni dengan kehendak ajaran Islam seperti yg dinyatakan oleh Ust Wan Ji.
2) Adalah lebih sempurna jikalau Hudud itu dilaksanakan apabila PR berkuasa di mana undang-undang Ilahi ini diberi penerangan dan kefahaman yang sempurna kepada rakyat Islam dan bukan Islam. Janganlah terburu-buru.
3) Kepada yang tidak memahami atau tahu apa itu hudud carilah pengetahuan dahulu sebelum menentang baik kamu Muslim atau Non Muslim.
4) Pada pendapat pakcik orang yang menentang hudud adalah penjenayah-penjenayah kerana mereka takut akan hukuman hudud itu sendiri. Kalau tak buat salah buat apa nak takut.
5) Yang paling pakcik pelik ialah Non Muslim (DAP,MCA, GERAKAN dll) yang menentang hudud, dah terang lagi nyata undang-undang hudud ini tidak terpakai kepada Non Muslim, dia pulak lebih2 nak tentang. Jadi pakcik cadangkan hudud ini terpakai kepada semua Muslim dan non Muslim.