HAKIKAT BUNIAN -Misteri Manusia Boleh Lihat Bunian
Umat Islam tak digalak berkawan dengan makhluk ghaib kerana
tidak diketahui beriman atau kafir.
Di sebalik dunia nyata yang kita tempuhi, ada kehidupan sama
seperti manusia tetapi terselindung dan tidak dapat disingkap pancaindera
biasa.
Penduduk alam ghaib itu dikatakan memiliki budaya setempat
seperti bermain kompang dan berzanji, memiliki wajah dan fizikal seperti
manusia.
Penghuni dunia itu juga hidup bermasyarakat, mendirikan rumah
dan penempatan sama seperti kita malah dikatakan turut menunaikan haji dengan
menaiki kenderaan sama seperti manusia.
“Apa yang membezakan orang bunian dengan manusia ialah jika
berpakaian, semuanya mesti satu warna. Dari baju ke seluar sama warna,” kata
Pengasas Pusat Rawatan Islam Manarah di Kuang, Selangor; Dr Jahid Sidik.
Dr Jahid yang juga bekas pensyarah Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya berkata, selain warna pakaian; berdasarkan pengalaman dan kes
yang dirujuk kepadanya, semua aktiviti bunian sama seperti manusia.
“Cuma manusia tidak nampak mereka. Dalam al-Quran juga
menyatakan manusia tidak dapat melihat makhluk ghaib seperti syaitan, jin dan
bunian kerana mereka tidak memiliki jasad. Manusia memiliki empat unsur iaitu
air, api, tanah dan angin tetapi bunian menyamai jin hanya memiliki unsur api
dan angin (menyebabkan mereka tidak berjasad),” katanya.
Beliau yang berpengalaman hampir 15 tahun dalam perubatan Islam
berkata, sehingga kini ada dua teori dikemukakan mengenai kewujudan dan asal
usul orang bunian.
“Mengikut cerita orang lama termasuk guru saya; asal bunian
ialah apabila manusia berkahwin dengan jin. Sememangnya dalam kitab fekah ada
perbincangan mengenai perkahwinan antara manusia dan jin.
“Berdasarkan pengalaman yang dirujuk kepada saya, membuktikan
perkahwinan antara jin dan manusia memang berlaku dalam kehidupan ini,” katanya
yang turut menjelaskan bahawa perkahwinan itu menyebabkan bunian memiliki rupa
dan budaya seperti manusia tetapi memiliki unsur api dan angin menyamai jin.
Satu teori lain mengenai kewujudan bunian adalah mereka pada
asalnya manusia alim dan soleh, taat kepada perintah Allah tetapi akibat sebab
tertentu, mereka terlalai dan melakukan kejahatan.
“Akibat malu berhadapan dengan manusia, mereka berdoa kepada
Allah supaya kewujudan mereka tidak dilihat manusia. Ada versi mengatakan
kejadian ini berlaku pada zaman Sahabat tetapi ada yang mengatakan ia berlaku
sebelum zaman Rasulullah serta pada zaman Nabi-Nabi terdahulu,” katanya.
Beliau berkata, manusia biasa tidak dapat melihat bunian atau
jin tetapi keadaan itu boleh berlaku dalam beberapa keadaan tertentu, dengan
izin Allah. Antaranya apabila ada jin atau bunian yang menumpang dalam badannya
tanpa disedari individu itu.
“Ada orang berkata, bayi dapat melihat bunian atau jin kerana
mereka masih suci. Itu tidak benar, sebenarnya bayi dapat melihat perkara ghaib
itu kerana bunian atau jin menumpang di badannya.
“Ada satu kes seorang bapa mendakwa anak kecilnya istimewa
(psikik) kerana dapat melihat benda ghaib. Selepas dibawa kepada saya, didapati
dalam badannya ada jin dan selepas makhluk itu dikeluarkan, anak kecil itu
kembali normal,” katanya.
Selain itu, manusia mampu melihat bunian jika makhluk itu
menzahirkan jasadnya dan kebiasaannya kemampuan bunian menunjukkan fizikalnya
berlaku apabila bunian itu mempelajari ilmu tertentu. Sebaliknya manusia juga
boleh melihat bunian jika mereka mempelajari ilmu tertentu.
Dr Jahid menceritakan beberapa kes bunian yang dirujuk kepadanya
sepanjang terbabit dalam bidang perubatan Islam itu.
“Satu kes di Kota Tinggi, Johor. Dua pemuda masuk ke hutan
mencari rotan tetapi seorang daripada mereka hilang ketika hari hampir malam.
“Operasi mencari dijalankan tetapi lelaki itu tetap tidak
dijumpai sehinggakan ahli keluarga dan penduduk kampung menganggap pemuda itu
sudah meninggal dunia akibat dibaham binatang buas. Masa berlalu dan kehilangan
pemuda itu semakin kurang dibualkan penduduk dan ahli keluarga.
“Tiba-tiba, kira-kira lebih setahun selepas kehilangannya,
pemuda itu kembali ke rumah keluarganya dan membawa bersama seorang anak dan
isteri,” katanya.
Pemuda itu menceritakan, pada hari kehilangannya, dia tersesat
dalam hutan dan apabila menjelang malam, ketika mencari jalan keluar, dia
terjumpa sebuah rumah.
Selepas berehat semalaman, pemuda itu meminta izin pulang tetapi
disuruh pemilik rumah tinggal bersama mereka dan berkahwin dengan anak
perempuannya.
Selepas setahun, lelaki itu diizinkan menjenguk keluarganya di
alam manusia tetapi selepas itu, dia diberi pilihan oleh mentuanya sama ada
ingin terus berada di alam bunian atau bersama manusia. Lelaki itu memilih
kekal bersama anak dan isterinya di alam bunian.
Kes kedua diceritakan Dr Jahid berlaku pada tahun-tahun terakhir
jemaah haji menggunakan kapal laut sebagai pengangkutan. Dalam sebuah kabin,
ditempatkan tiga lelaki dan selepas berkawan, mereka bertukar alamat apabila
ingin berpisah.
“Apabila pulang, seorang dari mereka yang tinggal di Kedah
mengambil keputusan melawat kenalannya di Muar, Johor. Sebaik sampai di Muar,
dia menunjukkan alamat kepada pemandu teksi yang berasa pelik kerana tiada
kampung di kawasan itu.
“Apabila sampai, didapati memang tiada penempatan di situ,
selepas berjalan masuk ke dalam sedikit, baru dia menjumpai kampung dan rumah
kenalannya. Tetapi selepas beberapa ketika berada di tangga rumah kenalan itu,
dia ditolak seorang pemuda dan sebaik terjatuh, dia melihat rumah dan kampung
ghaib sebaliknya digantikan dengan semak belukar,” katanya.
Kes ketiga lebih menyedihkan. Seorang gadis meminta pertolongan
Dr Jahid untuk memisahkannya daripada suaminya lelaki bunian. Beberapa tahun
sebelum perkahwinan mereka, lelaki itu mendatangi gadis itu dan mengugut supaya
mengahwininya atau gadis itu akan mengalami sakit misteri.
Gadis itu enggan menyebabkan dia diserang penyakit misteri
selama dua tahun. Akibat tidak tahan menanggung kesakitan sehingga
menyebabkannya lumpuh, gadis itu bersetuju berkahwin dengan lelaki bunian
berkenaan.
Bantuan yang diminta daripada Dr Jahid bagaimanapun dibatalkan
gadis itu dipercayai selepas diugut suami buniannya dan sehingga kini, tidak
diketahui nasib wanita itu.
FAKTA
- Bunian tidak ditakrif dalam al-Quran tetapi keajaiban Allah
sama seperti kejadian manusia kembar.
- Manusia yang bersahabat atau berkawan dengan bunian,
menjatuhkan martabat mereka sebagai khalifah Allah.
- Tidak seperti jin yang boleh terbang dan memiliki kemampuan
lain, Bunian hidup seperti manusia dengan berjalan kaki, bercucuk tanam cuma
bezanya mereka tidak dilihat manusia walaupun hidup di alam yang sama.
- Bunian boleh menyakiti manusia secara ghaib tetapi bagi bunian
yang mempelajari ilmu tertentu, mereka boleh menyakiti manusia secara fizikal.
- Rawatan digunakan Dr Jahid untuk merawat gangguan jin atau
bunian adalah kaedah ketukan.
- Tanda-tanda seseorang diganggu bunian atau jin adalah
berkelakuan pelik seperti melihat benda ghaib, berat badan kekal tetapi apabila
diangkat terasa berat selain kesan aneh pada tubuh badan.
- Manusia tidak digalakkan berkawan dengan bunian kerana sukar diketahui
sama ada bunian itu benar-benar beriman atau kafir.
- Kaedah menjauhkan gangguan bunian atau jin adalah dengan
menjaga ibadat wajib dengan sempurna selain memperbanyakkan ibadat sunat serta
solat hajat, solat taubat dan berdoa.[Dari tulisan asal oleh Nasron Sira Rahim]
p.s :
Kawan pakcik (pemilik restoren kat KL) memang pernah berbual dan besembang dengan sepasang Bunian. Bunian ni kira hebat kerana boleh menzahirkan diri pada alam kita, berbual dan bersembang. Apa yang dapat kawan pakcik perhatikan ialah kakinya tak jejak lantai dalam setengah inci. Orang biasa memang tak perasan.Dia pulak boleh berbahasa semua bahasa kat dunia ni.Cuma dia tak sempat nak amik gambar. Lain masa pakcik dah bagitau dia pakcik nak jumpa nanti pakcik mintak amik gambar. Waallahua'lam.