Monday, 30 October 2017

REZEKI ALLAH TAK PERNAH TERSALAH ALAMAT


REZEKI ALLAH TAK PERNAH TERSALAH ALAMAT





TERDAPAT satu cerita yang direkodkan dalam Sahih Muslim:
“Seorang lelaki berjalan di tengah-tengah padang pasir. Tiba-tiba kedengaran satu suara bergema dalam celahan awan di langit. “Siramilah dikau (wahai hujan) ke atas kebun si fulan.”
Lelaki itu terkejut kehairanan. Apakah dia bermimpi atau berilusi. Namun matanya tetap memerhati pergerakan awan ke mana arahnya pergi. 

Lantas awan tersebut menurunkan hujan ke atas kawasan berbatu hitam. Seakan-akan sebuah empangan air hujan memenuhi kawasan tersebut. Lalu daripada empangan tersebut air mulai mengalir membentuk sebuah saliran hinggalah sampai ke sebuah kebun. Di dalamnya kelihatan seorang pekebun yang sedang membuat alur dengan cangkulnya agar air sampai memenuhi petak-petak tanamannya.

“Wahai hamba Allah, siapakah namamu?” Tanya lelaki itu kepada pekebun.
“Namaku si Fulan,” Jawab pekebun itu dengan nama yang didengari dari langit.
“Mengapakah tuan hamba bertanya tentang namaku?” Tanya pekebun itu kembali.
“Sesungguhnya aku mendengar satu suara di celahan awan. Suara itu mengarahkan agar awan membawa hujan untuk dicurahkan airnya ke kebunmu. Apakah amalanmu wahai saudara?”
“Jika itulah sebagaimana yang dikatakan olehmu maka akan aku ceritakan (amalanku). Aku melihat kepada hasil kebunku ini lalu aku sedekahkan sepertiganya. Sepertiga aku mengambilnya untuk dinikmati oleh diriku dan keluargaku. Sepertiga lagi hasilnya aku laburkan semula untuk tanamanku yang baru.”

JANJI ALLAH ITU PASTI
Inilah janji Allah SWT yang bersifat pasti. Rezeki dan kenikmatan akan sampai kepada mereka yang menabur bakti. Teringat kepada kata-kata seorang ulama besar Kedah, al-Marhum Tuan Guru Ahmad Osman. “Berbudi kepada tanah pasti takkan rugi.”

Namun, apakah semudah itu sahaja atau ada lagi rahsianya. Ramai sahaja yang menabur budi pada tanah pertiwi namun hasilnya mengecewakan hati. Sudah tentu kisah dalam hadis tersebut boleh dijadikan inspirasi memugar solusi.

Melihat menerusi kaca mata kebendaan pasti soal infaq, sedekah dan zakat akan dipinggirkan. Bagaimana mahu kaya jika tidak menyimpan dan menabung segala harta? Namun, syariat Ilahi menawarkan bukan sekadar teori, namun realiti pertumbuhan harta yang lebih bermakna dan bererti.
Lihat sahaja kehidupan pekebun tadi. Tanpa daya mahupun upaya. Di tengah-tengah ketandusan tanah Arab diturunkan hujan yang penuh istimewa dengan penuh keajaiban untuknya. Lantas ditakung airnya oleh batu-batu dan akhirnya membentuk aliran air sampai ke kebun.

Renungkan, jika ‘hujan’ sekalipun mampu diutuskan secara khusus di tanah gersang, bayangkan sumber-sumber rezeki yang lebih ‘mudah’ dalam dunia kemewahan penuh kecanggihan pada hari ini! 

Ya, rezeki tak pernah salah alamat.

Cuma seringkali manusia alpa mengabaikan takwa dan usaha. Akhirnya yang sampai ke pintu rumah bukanlah laba atau rezeki tetapi sengsara dan juga rugi.

TAKWA DAN PERANCANGAN
Dalam merealisasikan kehendak dan impian untuk mencari rezeki serta kekayaan, pelbagai rencana, pelan tindakan, konsep dan teori pasti akan diusahakan. Namakan apa jua tindakan bermula dari bekerja lebih masa, mengorbankan cuti, membuat perniagaan sampingan hinggalah ke strategi pemasaran, semuanya dilakukan dengan tekun dan gigih. Semuanya tersisip dalam perancangan. Minda ligat mencari jalan. Kudrat dan keringat giat diperah. Namun, dalam semua itu masih ramai yang terlupa merencana ‘diari’ amalan dan agenda takwa. Dunia seolah-olah didahulukan dan akhirat dikemudiankan.

Inilah silap kita sebenarnya. Merancang untuk berjaya dan kaya tetapi melupakan Yang Maha Pentadbir dan Maha Kaya. Renungkan, berapa ramaikah dalam kalangan kita yang membuat perancangan teliti untuk amalan seharian? Berapa ramai yang menyusun zikir-zikir dalam sehari untuk dilafazkan.

Berapa ramai yang benar-benar memasukkan ‘peruntukan’ untuk Allah SWT dengan menyusun ketaatan bagi dilaksanakan? Muhasabah kembali perancangan takwa, di samping perancangan harta.
Apapun jangan tersalah dalam mentafsirkan rezeki Allah. Belum tentu yang diluaskan rezekinya itu dimuliakan dan belum tentu juga disempitkan rezeki itu adalah tanda kehinaan. Allah berfirman dalam Surah al-Fajr ayat 15-16 maksudnya: “Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dimuliakan oleh-Nya dan diberikannya kesenangan maka dia berkata: “Tuhanku telah memuliakanku. Adapun tatkala Tuhannya menguji dirinya lalu membataskan rezekinya maka dia berkata: “Tuhanku sedang menghinakanku.” Bahkan! Sekali-kali tidak sedemikian.”

Nauzubillah bagi yang dilapangkan rezeki atas sebab istidraj justeru semakin lazat dan leka dirinya dalam kemaksiatan. Begitu juga jangan disalahertikan kurniaan Allah. Jika diuji dengan kesempitan maka itu kemungkinan menjaga dirinya daripada segala marabahaya.
Namun, jika ada yang masih diuji, maka sedarilah barangkali itu disebabkan dosa yang masih dibuat. Kata para ulama salaf: “Sesungguhnya seorang hamba itu boleh terhalang rezekinya kerana dosa yang dilakukannya,”

Takwa dan rezeki punya hubungan yang unik dan istimewa. Rezeki pula punya diversiti dan datang dalam kepelbagaian bentuk serta rupa. Rezeki akan pasti datang sebagaimana mati juga pasti datang. Usahlah kecewa jika bentuknya bukan harta. Kesempatan hidup, masa dan kesihatan juga rezeki daripada-Nya. Luaskanlah sudut pandang agar jiwa tenang dan lapang. Jangan berduka jika kehilangan meskipun rezeki sudah berada di dalam tangan. Ada kalanya ujian diberikan dalam diri yang penuh kealpaan. Bersabarlah jika kita hilang sesuatu kerana Allah, namun jangan sesekali ‘hilang’ Allah kerana sesuatu.

TIP SUMBER REZEKI MENURUT WAHYU
Takwa
“Sekiranya penduduk sesebuah negeri itu beriman dan bertakwa pasti akan Kami limpahkan kepada mereka keberkatan daripada langit dan bumi. Namun mereka mendustakan (ayat-ayat kami) maka kami seksa mereka kerana perbuatan itu,” (al-Aaraf: 96)
Taubat
“Hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan bertaubat kepada-Nya. Jika kamu sedemikian, nescaya akan dikurniakan kepadamu kenikmatan yang baik dan terus-menerus sehinggalah ke suatu waktu ditetapkan. Dia juga akan memberikan kepada setiap yang mempunyai keutamaan akan habuannya masing-masing,” (Hud: 3)
Istighfar
“Maka Aku katakan kepada mereka: ‘Mohonlah ampun kepada Tuhanmu. Sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun. Nescaya, Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan memperbanyak harta dan anak-pinakmu, menyuburkan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai,” (Nuh: 10-12)
Istiqamah
“Bahawasanya jikalau mereka tetap berjalan lurus di atas jalan itu (agama Islam), benar-benar Kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar (rezeki yang banyak). Semuanya adalah untuk Kami beri ujian kepada mereka padanya (rezeki),” (al-Jin: 16-17)
Beramal dengan al-Quran
“Sekiranya mereka sungguh-sungguh menjalankan (hukum) Taurat dan Injil dan (al-Quran) yang diturunkan kepada mereka daripada Tuhannya, nescaya mereka akan mendapat makanan dari atas dan bawah kaki mereka,” (al-Maidah: 66).


Kredit : Utusan Online





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...