PAS KENA PUJUK TAMRIN KEMBALI - MAZLAN ALIMAN
AJK PAS Pusat, yang juga Presiden ANAK Sdr Mazlan Aliman adalah insan
yang bertanggungjawab membawa anakanda Almarhum Tun Ghafar Baba
iaitu Tamrin Ghafar untuk menyertai PAS. Sdr Mazlan adalah pencadang
kepada borang permohonan Tamrin untuk sertai Parti Islam tersebut.
Apabila Tamrin baru-baru ini istihar untuk keluar dari PAS dan berterus
terang bahawa di antara sebab utamanya beliau keluar dari PAS adalah
kerana tindakan PAS yang menggantung keahlian dua Adun PAS iaitu YB
Saari Sungip dan YB Hasnul berikutan kedua-dua Adun dari Selangor
berkenaan menyokong pencalonan Presiden PKR, Datin
Seri Wan Azizah sebagai MB Selangor. Bekas Pengerusi MARA itu menjadi
keliru dan pening dengan sikap PAS yang tidak tahu arah mana parti
berkenaan harus berikan kerjasama.
Sdr Mazlan Aliman juga turut akui sememangnya Tamrin amat kecewa dengan
pendirian PAS di dalam isu MB Selangor. Sikap PAS itu lah sehingga kini
menjadikan PAS berpecah sesama ahli-ahlinya bahkan ramai di kalangan
pimpinan PAS sendiri bengong dengan pendirian Presiden mereka. Mazlan
Aliman berkata, " Saya difahamkan, keputusan Mesyuarat AJK PAS Pusat pada 12 Oktober lalu mengenai isu 2 Adun PAS iaitu Hulu Klang dan Morib adalah kemuncak yang mendorong Tamrin meninggalkan PAS,"
Beliau yang sangat sedih dengan keputusan Tamrin itu berharap PAS dapat
memujuk kembali Tamrin agar mengkaji semula tindakannya. "Saya berharap
Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dapat mengambil inisiatif
memujuk beliau memikirkan semula keputusannya keluar PAS, meskipun kita
menghormati hak beliau. "Situasi ini bukan sesuatu yang baik bagi PAS,"
tulis Mazlan dalam Facebooknya. Tamrin mengambil keputusan untuk
meninggalkan PAS, parti yang disertainya 2 tahun lalu, melalui satu
surat yang dihantar kepada setiausaha agung PAS pada 15 Oktober lepas.
Mesyuarat AJK PAS Pusat
pada 12 Oktober lalu mengambil keputusan menggantung keahlian dua
Adunnya, iaitu Saari Sungib (Hulu Klang) dan Hasnul Baharudin (Morib).
Saari dan Hasnul digantung keahliannya ekoran tindakan mereka menyokong
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi calon menteri besar
Selangor yang disifatkan oleh PAS mendahului keputusan pimpinannya.
Sebelum digantung, Presiden PAS ketika membuat ucapan penggulongan
Muktamar PAS ke-60 di Batu Pahat, Johor menyifatkan kedua-dua Adun itu
barua dan ada broker di dalam parti Islam itu.
Sebenarnya bukan Tamrin seorang yang pening dengan sikap PAS. Siapa
boleh jangka sebagai sebuah Parti Islam sanggup bertindak sedemikian
rupa kepada dua Adun mereka sendiri hanya kerana menyokong Presiden PKR
iaitu salah seorang pemimpin besar di dalam gabungan PR? Lojik di mana
PAS boleh mengambil tindakan ke atas dua Adun berkenaan sedangkan
kedua-dua mereka ingin membantu PR untuk menunjukkan bahawa PR punyai
majoriti yang cukup bagi meneruskan pentadbiran di Selangor. Jadah
apanya yang disokong oleh 4 Exco dari PAS berkenaan kepada TSKI yang
tidak berparti? Alasan kononnya untuk mengawal dari kerajaan PR
Selangor jatuh ke tangan Umno atau Dun dibubar samasekali tidak masuk
akal sedangkan majoriti yang menyokong Azizah telah jauh mencukupi iaitu
seramai 30 Adun? Mana mungkin Umno boleh memerintah, mana mungkin Dun
boleh dibubarkan di dalam keadaan PR punyai majoriti besar?
Jadi, tentulah Tamrin tertanya-tanya mengapa PAS terus menyokong TSKI
dan membelakangkan Azizah yang telah mempunyai majoriti? Apa nawaitu
PAS waktu itu? Itu yang dipersoalkan ramai pihak. Presiden PAS boleh
ke hulu ke hilir memberikan berbagai alasan mengapa PAS mempertahankan
TSKI tetapi tidak semua orang boleh terpedaya dengan alasan yang tidak
munasabah itu.
PAS sepatutnya melaksanakan kebijaksanaan politik di dalam menangani isu
ini asalkan tidak bercanggah dengan hukum Islam. Apakah menyokong PR
ketika itu bersalahan dengan hukum atau menyokong TSKI yang telah
menjadi Adun Bebas itu diwajibkan untuk PAS menyokongnya? Di mana
maslahah politik itu diletakkan oleh PAS? Atas sebab itu, Tamrin
bertindak keluar dari PAS kerana beliau merasa pelik dengan tingkah laku
PAS.
Akibat ketidakbijaksaan itu, kini PAS telah mula merasai kesannya. PAS
sudah kurang membelasah Umno tetapi banyak melatah tentang PasMa yang
tiba-tiba wujud ketika isu MB Selangor. Pimpinan PAS masih tidak segan
silu membelasah rakan-rakan dari PR terutamanya PKR. PAS mungkin merasa
PKR meranapkan impian PAS untuk terus mengekalkan TSKI sebagai MB
Selangor. Mengapa begitu bersungguh PAS mahu pertahan TSKI? Kononnya,
TSKI patut disokong kerana MB Selangor itu tidak disabitkan dengan SPRM
atau mahkamah. Mahu bertanya, adakah sabit dengan SPRM mahu pun
mahkamah terhadap dua Adun berkenaan? Jawabnya tiada. Jika tiada,
mengapa perlu mereka dihukum? Kerana disiplin? Jika itu jawapannya,
PKR juga memecat TSKI atas dasar disiplin juga selain dari isu hutang
Bank Islam, projek kepada kroni Umno dan banyak lagi perkara yang mana
TSKI sendiri gagal tampil untuk menjawabnya kepada parti.
Tamrin bukan hebat sangat sebab itu PAS tidak kisah kehilangan beliau.
Tetapi aku yakin PAS sebenarnya rugi besar dan akan mengambil risiko
yang tinggi apabila parti tersebut silap di dalam tindakannya. Besar
kesan ke atas PR, lebih besar lagi kesannya kepada PAS sendiri.